NANA lebih bersemangat apabila setiap produk seninya  diterima baik dan mendapat komen positif.
NANA lebih bersemangat apabila setiap produk seninya diterima baik dan mendapat komen positif.
Norhayati Nordin

BIARPUN pelbagai sektor ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19, namun kehidupan tetap diteruskan. Suka dan duka yang kita lalui ketika ini adalah ujian besar.

Usah meratap takdir, tetapi bangkit dengan semangat positif.

Itulah yang dipegang penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana. Walaupun tahun ini amat mencabar, tapi masih ada kemanisannya.

Menurut ibu tunggal berusia 36 tahun ini, dia lebih tenang melihat positif pada saat sukar sekarang kerana Allah masih lagi memberi hamba-Nya peluang. Secara tak langsung, banyak masa di rumah itu sepatutnya menjadikan kita lebih berusaha dan kreatif.

"Saya tahu bukan saja penggiat seni seperti saya berhadapan masalah pendapatan terjejas akibat Covid-19, tetapi hampir semua orang. Namun, ada baiknya juga peluang duduk di rumah yang kita peroleh ini.

"Untuk saya sendiri, antara 'kemanisan' di sebalik dugaan hebat ini, banyak masa di rumah memberi ruang buat saya kenal dan memperbaiki diri sendiri.

"Masih ada banyak kekurangan diri yang perlu saya atasi. Selain itu, saya bersyukur masih memperoleh kesempatan menghabiskan masa bersama keluarga. Selama ini, saya jarang ada masa lapang yang banyak kerana begitu sibuk dengan kerja dan pelbagai aktiviti seni," katanya.

Menurut penyanyi lagu Terus Mencintai dan terbaharu, Angkara ini, dia sekarang banyak belajar secara dalam talian mengenai masakan serta mengikuti kuliah agama.

"Saya sentiasa percaya di sebalik dugaan yang Allah beri pada kita, pasti ada hikmah dan jalan keluarnya. Cuma kita kena sabar, cekal dan terus berusaha demi kehidupan yang perlu dijalani ini.

"Semua orang terkesan dan cara saya menghadapi situasi perit ini, kena tetap positif, yakin sepenuh hati ada hikmah di sebaliknya dan belajar membiasakan diri menjalani rutin norma baharu dalam kehidupan," katanya.

Mengulas kerjaya seninya, Nana berkata, kini dia memberi tumpuan untuk menyiapkan dua lagu baharunya yang bakal dilancar tahun depan, termasuk menghasilkan projek album kerohanian.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerjaya nyanyian masih lancar walaupun perlu menghadapi pelbagai dugaan. Saya gembira keberadaan diri dalam industri seni masih mendapat sokongan peminat dan saya tidak menyepi.

"Ia penting buat saya untuk 'tidak menyepi' kerana pernah berlaku kepada saya dahulu yang 'hilang seketika'. Bukan mudah mendapatkan peluang untuk diterima semula. Jadi, sekarang saya tak boleh senyap dan kena keluar dengan produk seni berkualiti.

"Kini, saya giat berusaha ke arah itu kerana tidak mahu menghampakan peminat yang terus memberi sokongan. Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang terus menyokong saya dan pasti menerima apa saja produk saya keluarkan," katanya.

Nana berkata, dia menjadi lebih bersemangat apabila setiap produk seninya seperti lagu bukan sekadar diterima baik, tetapi turut mendapat komen positif yang mendoakan kebaikan daripada peminatnya.

Mengulas perancangan album kerohanian itu, Nana berkata, dia akan bekerjasama dengan beberapa orang ustaz, namun belum mahu berkongsi nama-nama ustaz terbabit.

Mengenai lakonan pula, Nana berkata, jika tiada aral dia akan memulakan penggambaran drama tahun depan. Apa judul drama bakal dibintangi itu masih dalam perbincangan dengan pihak produksi.

DALAM perancangan hasil album kerohanian dan akan bekerjasama dengan beberapa orang ustaz.
DALAM perancangan hasil album kerohanian dan akan bekerjasama dengan beberapa orang ustaz.

Teruja mengarah video muzik

Bakal muncul dengan sekurang-kurangnya tiga lagu baharu pada tahun depan, Nana teruja untuk berkongsi hasil kreatif video muzik salah satu lagunya yang dilancar pada 1 Januari nanti.

Menurut Nana, dia akan menjadi pengarah video muzik lagu itu dan ia satu pengalaman bermakna buatnya kerana sudah lama menyimpan impian.

"Selama pembabitan dalam kerjaya seni, boleh dikatakan saya kini sudah berjaya mencapai sekitar 60 peratus impian di hati. Salah satunya keinginan mengarahkan video muzik sendiri.

"Setakat ini, bahan lagu sudah siap dan dalam proses rakaman. Selepas itu, video muzik akan dirakam dan saya berdoa segala perancangan ini akan lancar. Insya-Allah, semoga ia menjadi kenyataan," katanya.

Tidak berbicara lanjut mengenai genre lagu dan konsep video muzik itu, Nana berkata, tidak bagus untuk berkongsi banyak pada peringkat awal.

Memandangkan ketika ini kes jangkitan Covid-19 belum reda, Nana berharap supaya kita semua akur dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Katanya, semua perlu patuh menjaga kebersihan dan elakkan daripada sebarang tekanan.

Menurut Nana, rakyat Malaysia pasti boleh memutuskan rantaian Covid-19 yang masih mencatat peningkatan tinggi jika melakukannya bersama-sama.

Menurut pelakon drama Dia Semanis Honey dan Cekelat Honey ini, kita semua pernah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dan sekarang cuma perlu terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:00 AM