Sri Kartika Ayu Amri dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara mencatatkan penurunan apabila merekodkan 659 kes menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 31,548 kes dengan jumlah kes aktif 10,051 kes, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, hanya satu kes import direkodkan dari Bangladesh membabitkan individu bukan warganegara.

"Bagi kes penularan tempatan, 529 kes dilaporkan di Sabah, Selangor (54), Negeri Sembilan (25), Labuan (12), Kuala Lumpur (11), Sarawak (19), Perak (6), Putrajaya(4), Kedah (2), Pulau Pinang (2), Terengganu (2), Pahang (1) dan Kelantan (1).

"Secara keseluruhannya, 137 kes direkodkan hari ini adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan pusat tahanan sementara iaitu 26 kes Kluster Penjara Kepayan dan 11 kes daripada Kluster Rumah Merah," katanya dalam sidang media perkembangan harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 83 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 19 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 1,000 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan ia jumlah tertinggi direkodkan setakat ini.

"Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 21,248 kes atau 67.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, tiada kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal sebanyak 249 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Tiada pertambahan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 144 kluster," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 6:24 PM