Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sentuhan enam pemain kebangsaan yang berada di luar negara adalah pertaruhan terbaik skuad Harimau Malaya menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Mac depan.

Ia susulan kebanyakan liga luar negara terutama di Eropah masih berlangsung dan secara umumnya, prestasi dan kecergasan pemain sentiasa akan berada pada tahap terbaik hingga Mac nanti.

Bagaimanapun, situasi itu nyata berbeza dengan aksi Liga Malaysia (Liga M) yang baru saja ditamatkan pada awal November lalu yang akan menyaksikan pemain tempatan bercuti sekurang-kurangnya hingga hujung bulan ini sebelum kembali berlatih Januari depan.

Malah, kempen Liga M yang hanya akan bermula pada hujung Februari nanti pasti belum mencapai tahap terbaik ketika kem latihan skuad negara diadakan pada pertengahan Mac.

Menurut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, beliau kini meletakkan harapan besar kepada kelompok pemain yang berpangkalan di luar negara bagi memacu pasukan menghadapi kelayakan Piala Dunia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand nanti.

Untuk rekod, enam pemain itu adalah Safawi Rasid di Portugal, Luqman Hakim Shamsudin di Belgium dan Hadi Fayyadh Abdul Razak di Jepun selain tiga tonggak lagi yang beraksi di Liga Thailand iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan.

"Kita mungkin ada sikit masalah sebab dah lama tak bersama sejak kali terakhir tahun lepas (bulan November) kita berlatih dan mengadakan perlawanan.

"Tahun ini kita akur (aksi antarabangsa ditunda) disebabkan oleh Covid-19 dan tahun depan pasukan negara akan ada banyak perlawanan.

"Jadi kita harap pemain seperti Hadi Fayyadh, Safawi, Luqman, Mat Yo (Norshahrul), Sumareh dan Dominic boleh bantu dan bagi sesuatu kepada pasukan kerana mereka masih bermain dan liga mereka masih berjalan.

"Tapi pada masa sama, saya juga harap pemain lain dapat tingkat permainan mereka supaya kita bersiap sedia apabila kelayakan itu bermula nanti," katanya kepada Arena Metro.

Skuad negara yang tidak bermain sepanjang tahun ini bakal mengharungi jadual yang sibuk tahun depan.

Selain kelayakan Piala Dunia, pemain negara juga bakal mengharungi Piala AFF pada April depan di mana pasukan negara akan turun sebagai pasukan pilihan selepas muncul naib juara pada edisi dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:01 AM