GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

London: Polis Antarabangsa (Interpol) memberi peringatan kepada orang ramai untuk berhati-hati dengan sindiket yang menawarkan vaksin Covid-19 di platform jualan dalam dan luar talian.

The Guardian melaporkan Interpol mengeluarkan amaran notis jingga kepada 194 ahlinya terdiri daripada pihak berkuasa keselamatan seluruh dunia sebagai amaran untuk bersiap sedia dengan sebarang kegiatan jualan vaksin sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Menerusi kenyataannya, Interpol memaklumkan pandemik Covid-19 mendorong sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk melakukan pemalsuan, pencurian dan pengiklanan haram berhubung vaksin.

Badan berpangkalan di Perancis itu juga memohon kerjasama pengendali pengawal selia kesihatan dan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan rantai bekalan dan mengenal pasti laman web haram yang menjual vaksin palsu.

Ia berikutan tempoh pengedaran vaksin Covid-19 di sesetengah negara dalam tempoh terdekat ini.

Ketika pihak berkuasa sedang bersiap sedia untuk melancarkan program vaksinasi berskala besar, kumpulan penjenayah dijangka merancang untuk menyeludup atau mengganggu rantai bekalan.

"Mereka mencari mangsa melalui laman web dan menawarkan vaksin palsu yang mengundang risiko terhadap kesihatan.

"Adalah penting untuk memperketat pemantauan sebagai persiapan membanteras semua jenis kegiatan jenayah yang berkaitan dengan vaksin Covid-19," kata Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock.

Agensi itu mengatakan bahawa kumpulan penjenayah juga cenderung untuk memulakan pembuatan dan pengedaran alat ujian Covid-19 palsu.

Ia bagi menyekat usaha syarikat penerbangan dan imigresen yang komited melakukan saringan kesihatan.

Justeru, Interpol memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli peralatan perubatan atau ubat-ubatan dalam talian.

"Bahaya kini bukan hanya datang daripada produk yang berpotensi mengancam nyawa, tetapi juga ancaman siber.

"Analisis jenayah siber sudah mengenal pasti kira-kira 3,000 laman web farmaseutikal dalam talian yang disyaki menjual produk terlarang. Ia menunjukkan bahawa lebih daripada 1,700 daripadanya mengandungi unsur penipuan dan pemalsuan data.

"Penting untuk kita semua berwaspada kerana tawaran seperti itu lazimnya amat menarik perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 6:30 AM