KESAN bom petrol yang dilontar bom petrol.
KESAN bom petrol yang dilontar bom petrol.
Erika George


Miri: Kira-kira 30 pelanggan yang sedang beratur di luar bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Miri di Jalan Melayu di sini, gempar apabila bangunan terbabit dilempar bom petrol petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, bom petrol berkenaan dipercayai dibaling individu tidak dikenali.

Difahamkan ketika kejadian, beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut berada di luar bangunan bagi memantau orang ramai yang berurusan dengan KWSP.

Seorang saksi yang enggan namanya didedahkan berkata, dia nampak seorang lelaki yang bertatu meletakkan motosikal beberapa meter dari bangunan KWSP sebelum melontar bom petrol ke arah aras satu bangunan.

"Kejadian berlaku dengan pantas dan orang awam cuba untuk mengepung lelaki berkenaan namun gagal kerana dia memecut laju motosikal yang ditunggangnya," katanya.

Katanya, mujur insiden itu tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa kepada orang ramai dan kakitangan bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan menerima makluman berhubung kejadian.

"Pihak kita sedang mengumpulkan maklumat serta menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden itu.

"Tidak dapat dipastikan sama ada kejadian berkaitan dengan kekecewaan kerana gagal memohon i-Sinar seperti yang tular di media sosial," katanya.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang dilakukan termasuk memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di bangunan berdekatan.

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 7:16 PM