Nur Safiyya (kiri) bersama beg pakaiannya untuk dibawa menaiki ambulans sendirian ke HKL. FOTO ihsan Ira Hazwani
Nur Safiyya (kiri) bersama beg pakaiannya untuk dibawa menaiki ambulans sendirian ke HKL. FOTO ihsan Ira Hazwani
Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Kakak okay...kakak nak jumpa, peluk ayah,".

Itu respon Nur Safiyya Muhamad Ifwan, 5, kepada ibunya, Ira Hazwani Mohd Zaini, 33, apabila terpaksa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tanpa ditemani ahli keluarga yang lain.

Ira Hazwani berkata, hasil ujian saringan Covid-19 suaminya, Muhamad Ifwan Mohd Rais, 33, disahkan positif di mana turut menjangkiti anak sulungnya, Nur Safiyya.

Manakala dia dan anak keduanya, Nur Azaleeya Muhamad Ifwan, 3, disahkan negatif daripada wabak itu.

"Perasaan saya memang sedih dan risau kerana usianya baru lima tahun tetapi terpaksa naik ambulans sendiri.

"Mujur, dia (Nur Safiyya) baik-baik saja dan lebih memikirkan mahu berjumpa ayahnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ibu dua anak itu berkata, dia tidak dapat menemani anaknya itu disebabkan perlu menjaga anak bongsunya yang masih kecil.

"Saya tidak dapat ikut menghantarnya kerana jika saya ikut perlu bawa anak kedua juga. Ini akan merisikokan anak kedua dan terpaksa melepaskan dia naik ambulans seorang diri sebelum dia ditemukan dengan ayahnya di hospital," katanya.

Nur Safiyya (kanan) bersama bapanya di HKL. FOTO ihsan Ira Hazwani
Nur Safiyya (kanan) bersama bapanya di HKL. FOTO ihsan Ira Hazwani

Menurutnya, kini suami dan anak sulungnya itu masing-masing sedang dirawat di wad yang sama di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Suami pada awalnya menjalani rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 6 Januari lalu.

"Selepas mengetahui Nur Safiyya positif Covid-19, pihak KKM keesokannya memindahkan suami ke HKL bagi memudahkan urusan penjagaan Nur Safiyya yang akan tiba pada 8 Januari," katanya.

Katanya, dia dan anak keduanya sedang menunggu hasil ujian saringan kedua untuk tindakan lanjut.

"Terima kasih kepada anggota KKM yang sangat bertoleransi dalam situasi kami ini. Walaupun saya dan keluarga hanya keluar rumah untuk bekerja tetapi tetap dijangkiti.

"Harapan saya agar semua masyarakat duduk di rumah saja jika tiada urusan penting dan sentiasa amalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Terdahulu, perkongsiannya terpaksa melepaskan anak perempuannya berusia lima tahun menaiki van ambulans KKM sendirian selepas positif Covid-19 tular di media sosial.

Rata-rata warganet kagum dengan keberanian Nur Safiyya yang dilihat tenang menghadapi situasi itu walaupun dalam usia muda.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 5:49 PM