Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pasangan suami isteri yang mempamerkan karikatur wajah pemimpin komunis di restoran milik mereka tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, bagi memberi keterangan.

Kedua-duanya yang berusia 41 tahun itu dilihat hadir ke balai polis berkenaan bersama peguam Dev Kumaraendran kira-kira 12.30 tengah hari.

Dev berkata, pasangan terbabit mempunyai dua restoran di Jalan Icon City, Juru dan Pulau Tikus, di sini.

Katanya, karikatur berkenaan menghiasi dinding premis mereka sejak dua dan empat tahun lalu.

"Mereka tidak pernah berniat mahu menggambarkan unsur komunisme pada lukisan dinding premis seperti yang didakwa pelbagai pihak.

"Justeru, kami serahkan kepada siasatan polis," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada 2 Januari lalu, polis merampas pelbagai gambar dan cawan mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di sebuah restoran dua tingkat dekat Jalan Icon City, Juru, di sini.

PEGUAM mengiringi pasangan suami isteri pemilik sebuah restoran untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan di IPD Timur Laut. FOTO Danial Saad
PEGUAM mengiringi pasangan suami isteri pemilik sebuah restoran untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan di IPD Timur Laut. FOTO Danial Saad

Serbuan dijalankan selepas menerima maklumat daripada cawangan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah mengenai terdapat premis milik lelaki tempatan dan isterinya warga China menampal gambar pemimpin komunis, Mao Tse-tung.

Difahamkan semasa serbuan, kedua-duanya tiada di premis itu kerana menjalani tempoh kuarantin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 5:59 PM