KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Muhammad Saufi Hassan dan Nor’Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: "Saya bukan muda, umur sudah 67 tahun, tetapi ini adalah pengorbanan saya untuk anak cucu, insya-Allah semuanya baik-baik saja," kata Leftenan Kolonel (Kehormat) Che Hassan Che Johan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) sudah memohon untuk menjadi sukarelawan vaksin Covid-19, masih menunggu maklum balas dan jika diterima akan mendapatkan suntikan pada 21 Januari ini di Hospital Ampang, Selangor.

"Sudah lama saya idamkan untuk menjadi sukarelawan kepada vaksin ini. Ia juga adalah sebahagian daripada niat murni saya demi anak cucu kita pada masa depan.

"Memang saya tahu, ramai yang waswas untuk mengambil vaksin berkenaan kerana bimbang kesan sampingan yang akan dialami, tetapi jika bukan kita sukarela lakukan, siapa lagi untuk kita harapkan?," katanya.

Che Hassan berkata, beliau masih menunggu maklum balas berhubung masa suntikan itu akan diberikan dan mungkin kini dalam fasa pemilihan.

"Jika saya ingin cerita dugaan kesihatan yang saya alami, sudah bermacam dilalui termasuk melakukan angiogram sebanyak tujuh kali dan pembedahan pintasan jantung pada 2010.

"Saya kerap keluar masuk hospital sehingga Disember 2019. Sejak itu alhamdulillah, Allah SWT beri saya kesihatan yang baik sehingga kini.

"Saya sememangnya sedar mengenai tentang kemungkinan risiko yang akan saya alami, tetapi tidak mengapa, ini semua untuk anak bangsa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 6:50 AM