SHALIN.
SHALIN.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Setakat memberi pengiktirafan Datuk kepada atlet seperti Shalin (Zulkifli) apalah sangat, bukan minta duit pun."

Demikian pandangan legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek yang menganggap ratu boling negara itu jauh lebih layak untuk mendapat pengiktirafan Datuk atas sumbangannya kepada negara selama ini.

Jelasnya, status Datuk itu sebenarnya bukanlah untuk bermegah, sebaliknya satu tanda penghargaan kepada atlet termasuk Shalin yang menabur bakti kepada negara selama 28 tahun serta meraih banyak kejayaan di pentas dunia.

Justeru katanya, dalam konteks Shalin, persatuan sukan sememangnya memainkan peranan untuk mencadangkan namanya kepada pihak yang terbabit seperti kerajaan negeri bagi mendapat pengiktirafan Datuk.

"Kadang-kadang kita terlupa betapa besarnya pengorbanan seorang atlet seperti Shalin. Daripada memberi pengiktirafan kepada individu yang kadang-kadang kita pun tak tahu sumbangan mereka, adalah lebih baik berikan kepada atlet seperti Shalin.

"Jadi setakat untuk beri gelaran Datuk kepada Shalin, pada saya bukan satu masalah pun. Namun namanya perlu dicadangkan oleh pihak persatuan, tak kan tuan punya badan pula yang nak cadangkan namanya sendiri," katanya.

Bekas kapten skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi juga berpendapat Shalin sudah cukup layak untuk diberikan gelaran Datuk atas pencapaiannya yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Sebenarnya selain Shalin, banyak lagi atlet lain yang sepatutnya mendapat pengiktirafan Datuk. Bagi saya, sepatutnya setiap tahun ada kuota daripada kerajaan negeri untuk memberi pengiktirafan Datuk kepada atlet.

"Pemberian anugerah ini bukan untuk atlet berkenaan sahaja, tetapi ia membuka mata kepada orang di luar sana bahawa bidang sukan juga boleh memberikan kejayaan kepada seseorang atlet," katanya.

Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia, Datuk Abdul Razak Dawood menerusi Arena Metro semalam berkata, pihak persatuan boleh mengemukakan nama Shalin kepada pejabat menteri besar untuk dicadangkan nama beliau menerima anugerah berkenaan.

Dalam konteks Shalin, ia terletak di bawah tanggungjawab Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) atau Majlis Sukan Negara (MSN).

Pencapaian Shalin yang mengumumkan persaraan baru-baru ini boleh dikatakan setaraf dengan dua jaguh sukan tanah air iaitu bintang badminton, Datuk Lee Chong Wei dan jagoan skuasy, Datuk Nicol David.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 7:00 AM