INDIAN Chief Classic.
Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my


Sekali imbas, ia kelihatan biasa saja, tak ubah seperti jentera cruiser lain tetapi tanggapan itu serta merta berubah sebaik duduk di atas pelana Indian Chief Classic keluaran Indian Motorcycles ini.

Peluang menguji jentera yang boleh dilabel sebagai gergasi itu digunakan sebaik mungkin kerana sebelum ini, Vroom hanya mendengar mengenai kehebatannya daripada mulut rakan-rakan.

Hasilnya? Tiada apa yang mampu diluahkan dengan kata-kata kerana menunggang Indian Chief jauh lebih seronok kerana selain pengendalian yang mudah, ia juga mampu menghamburkan kuasa yang bukan calang-calang hebatnya.

Jika ada yang menganggap Indian Chief tidak setanding pesaingnya, Harley Davidson, fikirkan semula pendapat anda kerana bak kata pepatah Melayu, ‘tak kenal maka tak cinta’.

Gabungan pengendalian, reka bentuk dan kuasa Indian Chief pasti membuatkan sesiapa saja yang menunggangnya enggan berhenti kerana tidak ada sebab untuk anda melepaskan cengkaman pada gagang jentera itu.

Indian Motorcycles bukan ‘budak baru’ dalam industri motosikal dunia. Ia memiliki sejarah panjang dan muncul jenama motosikal pertama keluaran Amerika Syarikat iaitu pada 1901. Justeru, tidak hairan mengapa setiap jentera Indian menampilkan seni kejuruteraan yang mantap di setiap sudut reka bentuknya.

Kembali Indian Chief Classic, bukan sesuatu yang menghairankan apabila setiap ‘mat motor’ pasti menoleh dua kali ke arah jentera itu kerana selain menampilkan lampu hadapan krom, bentuk retro pada bahagian depan serta fender belakang yang diketengahkan sinonim dengan rekaan motosikal klasik.

Tetapi, jangan sekali-kali memandang rendah kuasa yang dimiliki gergasi ini. Kuasa yang dihamburkan enjin triple-cam, V-twin Thunder Stroke III yang digunakan seolah-olah tidak ada batasnya.

Penukaran gear enam kelajuannya juga amat lancar, mudah untuk kembali ke neutral. Memecut ke kelajuan selesa bagi cruiser seperti ini adalah sekitar 130-140 kilometer sejam (km/j) dan tidak susah untuk mencapai kelajuan berkenaan. Kuasa maksimum Indian Chief Classic adalah 240km/j!

Dari segi kawalan, meskipun beratnya mencecah 357 kilogram (kg), Indian Chief beraksi seperti yang dimahukan penunggang. Pengambilan selekoh pendek mahupun panjang adalah amat mudah selain mampu menerjah bonggol dan lopak air di jalan raya dengan stabil.

Suspensi yang lasak dan sistem brek anti kunci (ABS) yang bergerak harmoni dengan pusat graviti reka bentuk menghasilkan kestabilan dan tunggangan yang meyakinkan.

Kesimpulannya, Indian Chief bukan cruiser biasa, ia umpama karya agung dari segi kejuruteraan motosikal untuk reka bentuk, prestasi, keselesaan dan keselamatan.

INFO

• Harga: RM168,000 (tidak termasuk GST)

• Enjin: Thunder Stroke 111 V-Twin sejukan udara

• Suspensi depan: Fork katrij 46 mm, kelegaan 119 mm

• Suspensi belakang: Penyerap hentakan tunggal, kelegaan 94 mm

• Tork: 161.6 Nm pada rpm 3,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 12:10 AM