HONDA Civic Type R yang memukau.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Selepas sekian lama menanti, akhirnya Honda Malaysia melancarkan model pacuan roda depan terpantas milik mereka, Civic Type R dengan harga seunit bermula RM320,000 tanpa insurans.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, sambutan diterima sangat menggalakkan apabila sudah menerima 60 tempahan sejak dibuka bulan lalu.


HIDEKI (kiri) bersama Toichi bergambar bersama Honda Civic Type R.

“Meskipun harga rasmi belum diumumkan, angka tempahan sudah melepasi sasaran awal 30 unit.

“Honda Malaysia memiliki stok tersedia sebanyak 150 unit Civic Type R untuk pasaran tempatan dan oleh kerana ia bukan edisi terhad, kami akan terus menerima tempahan untuk model ini selain berusaha memendekkan tempoh menunggu,” katanya ketika pelancaran model berkenaan pada Malaysia Autoshow 2107 di MAEPS, Serdang.


AHMAD Zahid meninjau Honda Civic Type R.

Majlis pelancaran dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Timbalan Ketua Projek Honda Civic Type R, Hideki Kakinuma.

Terdahulu, Civic Type R dibawa masuk dan mula dipamerkan sempena perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang, sejak Oktober lalu.

Dibangunkan dengan casis lebih kukuh, Civic Type R menggunakan enjin 2.0L VTEC pengecas turbo yang menghamburkan kuasa 310PS dan tork maksimum 400Nm.


BAHAGIAN belakang sporty.

Model ini didatangkan dengan transmisi enam kelajuan manual, namun klac dan tukaran gearnya lebih lembut serta pantas.

Tiga mod pemanduan ditawarkan Comfort, Sport dan +R.

Jentera pacuan roda hadapan berkuasa ini mampu memecut daripada pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 5.7 saat manakala kelajuan maksimum sekitar 272km/j.


TIGA ekzos terletak pada bahagian tengah.

Honda Civic Type R juga diiktiraf sebagai kenderaan pacuan roda depan (FWD) terpantas dunia dengan catatan rekod 7 minit 43.90 saat di Litar Nurburgring, Jerman.

Hanya satu warna ditawarkan iaitu Putih Championship.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 1:21 AM