TAMPIL dengan potongan maskulin.
HM Digital

KTM siri Duke sememangnya menjadi kegilaan ramai sejak memasuki pasaran tempatan, lima tahun lalu.

Model 390 Duke terbaharu ini boleh disifatkan sebagai jentera moden dan ‘ganas’ selepas berpeluang menunggang ujinya selama beberapa hari merentasi beberapa lokasi bermula dari Kota Damansara ke Kuala Kubu Baru, Selangor.

Pada sudut luaran rekaan agresifnya membuatkan penulis tertarik dan sekali imbas, ia dilihat hampir sama dengan model Duke berkapasiti lebih tinggi seperti Super Duke 1290R.

Ditambah penerapan beberapa elemen baru seperti sistem CANBUS, tayar Metzeler M5 Interact, penarafan emisi Euro 4 serta cermin sisi lebih lebar membuatkan jentera ini tampil lebih menarik.

Penulis mendapati motosikal keluaran Austria dengan berat keseluruhan 149 kilogram ini disifatkan sebagai jentera ringan dan mudah dikawal.

Berkapasiti 373.2 cc, enjin ini menghamburkan 44 kuasa kuda (hp) pada 9,000 rpm dan tork 37Nm pada 7,000 rpm manakala pendikit dikuasakan Ride-by-Wire.

Dari segi keselamatan pula, jentera ini didatangkan dengan tiga mod Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) iaitu Road, Off-road dan Supermoto.

Paling menarik, jentera ini dilengkapi panel meter TFT berwarna yang membolehkan penunggang mendapatkan maklumat lengkap selain boleh menghubungkannya dengan telefon bimbit.

Selain itu, jentera ini didatangkan dengan sepit udang USD WP Suspension 43 milimeter (mm) di hadapan, monoshock prabeban boleh laras di belakang, rim 17 inci dengan tayar 110 mm di hadapan dan 150 mm di belakang.

Kedua-dua roda dilengkapi brek cakera 320 mm bersama angkup Bybre empat piston di hadapan manakala cakera 230 mm dan angkup satu piston di belakang.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual bermula harga RM28,800 (termasuk GST) berserta jaminan dua tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 2:58 PM