PESERTA kursus bersedia.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Khusus buat pemilik motosikal jenama Kawasaki, baru-baru ini diadakan Kursus Tunggangan Selamat dan Bertanggungjawab 2017 di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang.

Anjuran Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, ia pertama kali diadakan untuk memberi pendedahan berkaitan teknik tunggangan yang betul melalui kelas teori dan praktikal.

Mendapat kerjasama daripada Kawasaki Heavy Industries Ltd dan K-TEC Corporation dari Jepun membantu tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman bersama-sama dalam memberi tunjuk ajar kepada lebih 30 peserta yang hadir pada pagi itu.

Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Datuk Jeffrey Lim berkata, aktiviti ini dalam masa yang sama bertujuan untuk membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya di Malaysia dengan 63 peratus melibatkan penunggang motosikal.

“Kebanyakannya kes kemalangan berpunca daripada sikap manusia itu sendiri dan kursus ini juga membentuk keperibadian yang positif ketika mereka menunggang motosikal berkuasa tinggi di atas jalan raya,” katanya ditemui ketika perasmian kursus.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh peserta seperti pemeriksaan asas ke atas motosikal, posisi menunggang yang betul, teknik mengangkat motosikal yang jatuh dan tahap kesihatan penunggang diambil kira.

Untuk latihan di atas litar, peserta diberi tunjuk ajak tentang teknik membrek yang sesuai menggunakan brek hadapan dan belakang melalui ujian slalom, crank serta pusingan-U pada pelbagai kelajuan.

Kursus ini yang juga hadir dengan konsep “RIDEOLOGY” membolehkan ia menyediakan ruang latihan buat penunggang baru atau sedia ada merasai keseronokkan menunggang jentera Kawasaki dalam keadaan selamat.

Aktiviti ini akan diadadakan setiap bulan dan diluaskan ke lain-lain lokasi di Malaysia menjelang pertengahan tahun hadapan bagi membolehkan lebih ramai pemilik menyertainya.

Peserta perlu mengenakan pakaian menunggang lengkap seperti jaket, topi keledar, sarung tangan dan kasut dengan motosikal sendiri bersama cukai jalan serta insurans yang sah.

Untuk maklumat lanjut berkaitan kursus ini anda boleh layari laman web: kawasaki.com.my atau facebook: Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:19 AM