MEDIA merakamkan kenangan di Tasik Yamanaka yang berlatarbelakangkan Gunung Fuji.
HONDA S660 antara model idaman kaki kereta di Jepun.
KONVOI berhenti untuk bergambar di lokasi tinjau sekitar Gunung Fuji.
PENGAMAL media tempatan memandu ke 5th Station, Gunung Fuji dalam keadaan hujan.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Memandu di negara orang memberi pengalaman yang sukar dilupakan. Apatah lagi jika lokasi berkenaan terlalu asing dengan cara pemanduan, simbol dan peraturan yang berbeza atau pertama kali dilihat.

Pengalaman memandu uji beberapa model Honda ketika berada di Jepun sempena Tokyo Motor Show Ke-45, baru-baru ini, membolehkan wartawan tempatan menguji keupayaan teknologi i-DCD atau Intelligent Dual-Clutch Drive Hybrid yang termaju dalam sistem dwikuasa.

Semua model terpilih menggunakan sistem i-DCD antaranya kenderaan pelbagai guna (MPV) Jade, Freed, Fit (Jazz), Grace (City) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Vezel atau di negara ini dikenali sebagai HR-V.

Lokasi dituju bermula dari bandaraya Tokyo sehingga ke kawasan pergunungan Fuji sejauh lebih 360 kilometer (km).

Untuk permulaan, penulis bersama rakan wartawan akhbar The Sun, Azlan Ramli memilih memandu uji Honda Grace, juga dikenali sebagai City di negara ini.

Mula bergerak keluar dari hotel penginapan di tengah bandar raya Tokyo menjadi satu igauan berikutan keadaan trafik yang sibuk termasuk setiap persimpangan dipenuhi pejalan kaki melintas.

Di luar negara, pejalan kaki sentiasa diberikan keutamaan untuk melintas dan kenderaan perlu berhenti untuk memberi laluan.

Tambahan pula cuaca hujan menambah ‘kedinginan’ penulis untuk memandu.

Berbekalkan bantuan sistem pengesan global (GPS), lokasi dituju adalah Tasik Yamanaka di Yamanashi.

Meskipun terpaksa mengharungi kesesakan trafik, sistem i-DCD menawarkan pemanduan lancar tanpa sebarang masalah.

Tahap penggunaan bahan api adalah terbaik apabila kenderaan secara automatik bertukar ke mod hibrid ketika bergerak perlahan dalam keadaan malar.

Tiada sebarang perbezaan dirasakan apabila sistem pintar i-DCD ini diaktifkan.

Sebaik memasuki lebuh raya, penulis mula meningkatkan kelajuan supaya tidak tercicir dengan kumpulan media lain.

Menariknya, pandu uji kali ini turut disertai Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial yang memandu jentera sport kompak dua tempat duduk berkuasa turbo, Honda S660.

Pemanduan di lebuh raya juga lancar walaupun terpaksa mengharungi hujan hampir sepanjang perjalanan, kesan daripada Taufan Lan.

Walaupun memandu di lebuh raya dan situasi jalan adalah lengang, media dimaklumkan mengenai had kelajuan ditetapkan dan berwaspada dengan kamera had laju.

Setiap model i-DCD dibekalkan bersama transmisi dual klac tujuh kelajuan dan penulis tidak merasai sebarang kesan ‘tersenggut’ setiap kali pertukaran gear sama ada ketika mendaki atua memintas kenderaan berat.

Tahap disiplin pemandu kenderaan berat di negara matahari terbit ini sangat mengagumkan penulis apabila mereka hanya memonopoli laluan kiri dan tidak berganjak ke lorong kanan walaupun lengang.

Sejurus tiba di Yamanashi, keadaan cuaca bertambah buruk dengan hujan lebat dan angin kencang melenyapkan permandangan indah Gunung Fuji.

Kami terus memandu sehingga ke 5th Station untuk menikmati suasana di kaki gunung yang terkenal di dunia itu, namun malangnya kawasan berkenaan terpaksa ditutup pihak berkuasa akibat cuaca buruk.

Konvoi kemudian berpatah balik dan pulang ke hotel di Yamanashi.

Jika sebelum itu kuasa jentera diperah untuk mendaki laluan bengkang bengkok, kini enjin sekali lagi terpaksa bekerja keras ketika menuruni laluan berbukit.

Sepanjang memandu melayan selekoh di kaki bukit ini, minda penulis sentiasa teringat mengenai aksi drift dalam filem Initial D.

Keesokan hari, keadaan cuaca bertambah baik dan Gunung Fuji yang berdiri megah sudah menampakkan dirinya.

Untuk hari kedua, penulis dan rakan memilih untuk memandu Honda Vezel atau HR-V.

Lokasi kedua menuju ke Tasik Yamanaka yang berlatarbelakangkan Gunung Fuji dengan mengharungi laluan kampung.

Sepanjang pemanduan SUV kompak ini, tiada sebarang gegaran atau hentakan keras dirasai kabin sewaktu melalui jalan tidak rata.

Enjinnya pula beroperasi dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah.

Selepas selesai sesi merakam foto, konvoi mula bergerak pulang ke Tokyo.

Kesempatan ini membolehkan penulis mencuba MPV Jade kerana difahamkan, kami akan singgah sebentar di Litar Fuji Speedway dan Gotemba Factory Outlet sebelum memasuki lebuh raya.

Ini adalah kali pertama penulis memandu uji kenderaan yang tidak dipasarkan di Malaysia.

MPV bersaiz medium ini mampu memuatkan enam penumpang dewasa dengan selesa.

Walaupun memiliki susuk tubuh agak besar berbanding empat model pandu uji lain, kuasa yang dirasai tetap sempurna.

Tiada ngauman atau kekurangan kuasa ketika mengekori kenderaan rakan media lain.

Sejurus memasuki lebuh raya, cuaca hujan menyambut kehadiran kami sebelum penulis dan rakan media lain selamat tiba di Tokyo dengan berpandukan GPS.

Sepanjang dua hari memandu uji, penulis merasai sendiri teknologi i-DCD yang bukan saja menjimatkan bahan api, malah sistem hibridnya mampu menggalas tugas dengan baik dengan tawaran kuasa diperlukan untuk jentera yang berbeza sama ada kompak, sedan, MPV atau SUV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:23 AM