PROTON X7. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Lizam Ridzuan


Selepas tampil dengan beberapa sesi pratonton seluruh negara, akhirnya Proton Holdings Berhad (Proton) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 secara rasmi.

Model hasil kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) yang dimulakan sejak Jun tahun lalu, membolehkan Proton kembali bersaing melalui pengenalan model SUV pertama itu.

Dengan harga bermula..., X70 yang menerima sentuhan kejuruteraan termaju automotif mampu bersaing dan memenuhi permintaaan pasaran domestik yang kompetitif.

Empat varian ditawarkan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD dengan enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI) yang menghasilkan kuasa 181 hp dan tork 285Nm pada 1,500 rpm.

SUV premium Segmen C ini tampil dengan rekaan moden dan terkini terutama gril hadapan yang memiliki reka bentuk inspirasi konsep busur panah yang melambangkan ketangkasan, kecepatan dan ringan.

Logo hadapan diapit tiga bar hitam mendatar dengan sentuhan corak ‘Infinite Weave’ diilhamkan pereka tempatan.

Rekaan lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) bagi varian Executive dan Premium menampilkan gaya elegan manakala setiap varian dilengkapi padanan saiz rim aloi berbeza iaitu 17 inci untuk Standard, Executive (18 inci) dan Premium bersaiz 19 inci.

Ruang dalaman X70 disaluti unsur kemewahan seperti tempat duduk balutan kulit Nappa, sistem antara muka pengguna berteknologi tinggi dan elemen logam digabungkan untuk mewujudkan ruang yang luas, moden dan bergaya.

Untuk varian Premium, bumbung panorama menyerlahkan elemen elegan sebuah SUV.

Model ini juga bercirikan kenderaan pintar dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI), yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna melalui aplikasi dan pilihan kekal berhubung bersama ‘kenderaan’ melalui telefon pintar dengan akses ‘Mirror Link’.

Kad eSIM dalam GKUI dimuatkan bersama lima aplikasi menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.

Pengguna juga hanya perlu menyebut frasa ‘Hi Proton’ untuk mengaktifkan arahan suara bagi sistem tingkap, penyaman udara, masa, tarikh dan suhu serta mengakses aplikasi navigasi.

Akses kepada aplikasi dan fungsi lain adalah melalui skrin sentuh Android bersaiz lapan inci paparan penuh serta kapasiti ruang memori dalaman 16GB sambungan Wi-Fi untuk fungsi Hotspot mudah alih.

Melalui Proton Link membolehkan profil daripada papan telematik merakam data seperti jarak perjalanan, penggunaan bahan api, tempoh perjalanan dan maklumat servis berkala kenderan.

Ia juga merangkumi ciri ‘Cari Kereta Saya’ yang memudahkan pemilik ketika meletak kereta di parkir yang besar.

Program Kestabilan Elektronik (ESP), Brek Kecemasan Berautonomi (AEB) dengan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Amaran Tukaran Lorong (LDW), Sistem Amaran Titik Buta (BLIS) dan enam beg udara SRS adalah ciri keselamatan model ini.

Kerangka X70 turut dipertingkatkan dengan Hot Press Foaming (HPF) yang membentuk struktur kenderaan bagi menawarkan lebih perlindungan kepada penumpang.

Ini membolehkan X70 menerima penarafan lima bintang ujian Penilaian Keselamatan Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN-NCAP) dan selain Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Proton X70 dijual dengan harga RM99,800 (Standard), RM109,800 (Executive 2WD), RM115,800 (Executive AWD) dan RM123,800 (Premium 2WD) dengan lima pilihan warna iaitu putih, perak, kelabu, coklat dan merah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 5:30 AM