Mohd Razlan Salleh

Selepas melakukan previu eksklusif Toyota Vios sempena Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, baru-baru ini, ternyata sedan popular itu mula menjadi sebutan ramai.

Bakal dilancarkan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) pada tahun hadapan, model ini mampu menyaingi pesaing dalam kelas sama, seterusnya menjadi peneraju dalam segmennya.

Untuk pasaran tempatan, Vios baharu dilengkapi enjin empat silinder 1.5L DOHC 16 injap dengan Dual VVT-i bersama transmisi CVT tujuh kelajuan dengan mod Sport Sequential Shiftmatic.


WARNA merah tampil garang.

Selain menjimatkan, enjin ini mampu menjana 107PS pada 6,000 rpm dan 140Nm tork pada 4,200 rpm.

Sebanyak tiga varian ditawarkan iaitu Vios 1.5J, 1.5E dan 1.5G dengan beberapa ciri yang dinaik taraf berbanding model sama sebelumnya.


WARNA hitam menyerlah.

Ketiga-tiga model ini menerima tujuh beg udara, Lampu Nyalaan Siang (DRL), Brek Anti-Kekunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan cagak ISOFIX.

Selain itu, ciri standard lain ialah stereng kuasa elektrik (EPS), sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik dan sensor parkir belakang selain Bantuan Mula Mendaki (HSA) serta sistem peninjau titik buta dan Rear Cross Traffic Allert (RCTA) sebagai ciri standard untuk varian E dan G.


WARNA putih solid.

Varian E turut didatangkan bersama lampu belakang LED, lampu kabus, cermin sisi automatik dengan lampu isyarat, stereng pelbagai fungsi dan sistem infotainment DVD-AVX dengan kamera 360 darjah.


TUJUH beg udara.

Manakala varian G pula hadir dengan ruang dalaman balutan kulit, lampu utama projektor, rim 16 inci, filem penapis haba premium, paddle shifter, kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai maklumat (MID) bersaiz 4.2 inci, enam pembesar suara dan sensor parkir depan.

Ciri keselamatan turut dipertingkatkan bagi varian ini seperti sistem peninjau pandangan panoramik, perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri amaran perlanggaran depan (FCW) dan amaran pertukaran lorong (LDW).


CIRI infotainment serba canggih.

Model yang menerima penarafan lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP dijual pada harga bermula RM77,200 bagi varian J, RM81,200 (Varian E) dan RM87,300 untuk varian G.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu biru metalik, merah metalik, hitam, perak dan putih.


METER bergaya dengan MID 4.2 inci.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:14 AM