TRAK monster Sutton. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Lizam Ridzuan

Trak pikap bukan saja untuk kegunaan lasak dan kini, ia ditawarkan dengan pilihan lebih premium melalui model Sutton Monster Truck CS 3500 yang dilancarkan baru-baru ini.

Jenama trak berasal dari United Kingdom ini hadir bersama pacuan empat roda (4WD) yang dikuasakan dengan enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar petrol dengan penyejuk selang DOHC 24 injap dan kotak gear transmisi 10 kelajuan untuk menyalurkan kuasa kuda 450hp dan tork 690Nm.

Ia juga dilengkapi dengan suspensi 3.0” FOX racing Shox dengan travel hadapan 13” dan 14” pada bahagian belakang untuk menyerap pelbagai redaman selain hentakan bagi kemantapan prestasi pada laluan jalan raya dan offroad.

Untuk kestabilan dan bagi keselesaan sepanjang perjalanan, ia dipadankan dengan rim aluminium 17 inci dan tayar daripada BF Goodrich All Terrain.

Untuk pasaran negara ini, Hamawangsa Kredit Sdn Bhd sebagai pengedar utama kenderaan jenama Sutton di Malaysia menyasarkan jualan 100 unit untuk dua model baharu tahun ini.


KERUSI hadapan larasan elektronik. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Pengarah Eksekutifnya SM Hafiz SM Shalahuddin berkata, model pertama yang diperkenalkan ialah Monster Truck CS 3500 sebagai pendahulu dalam kelasnya dengan ruang luas serta rekaan maskulin.

“Selain itu, model CS 3000 juga bakal diperkenalkan tidak lama lagi dengan enjin diesel bagi melengkapi tawaran model Sutton.

“Ia disasarkan kepada pembeli yang mahukan pilihan trak pikap premium dan berprestasi,” katanya ketika majlis pelancaran.

Ciri-ciri dalaman elegan pada model CS 3500 seperti kerusi hadapan lapan larasan elektrik selain kerusi belakang dengan sokongan lumbar boleh dilipat untuk nisbah ruangan 60:40.

Setiap kerusi juga dilengkapi dengan ciri pemanas dan penyejuk untuk disesuaikan mengikut negara penggunanya.

Untuk sistem hiburan, ia dilengkapi skrin bersaiz 4.2 inci. Stereng teleskopik balutan kulit dengan pedal penginjak gear, kawalan pelayaran, paparan suhu luaran dan kemasukan tanpa kunci menambah elegan jentera.


RUANG dalaman selesa dan elegan. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Model pemasangan tempatan itu juga ditawarkan dalam pemanduan sebelah kiri dan kanan melalui kejuruteraan semula dengan ciri premium seperti amaran pelepasan laluan, ‘collision sensing’, kuasa AC dwi-zon, jeriji LED binaan khas, kemasan luaran gentian karbon dan penutup ‘tonneau’ kawalan jauh elektrik.

Selain lima warna, putih, hitam, biru, merah dan kelabu, pelanggan juga boleh melakukan pesanan untuk warna yang diingini serta tambahan aksesori dan binaan khas mengikut pilihan yang tersedia dalam tempoh enam bulan penghantaran.

Sutton Monster Truck CS 3500 dijual pada harga bermula RM780,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan tiga tahun waranti atau 60,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 7:01 AM