CIRI unik menarik perhatian pemilik dan memudahkan pemanduan.
Mohd Razlan Salleh

PELANCARAN kenderaan utiliti sukan (SUV) oleh Proton memang sudah lama dinantikan kerana budaya pemilikan kenderaan ketika ini lebih menjurus jentera besar dan lasak.

Tanpa menunggu lama, Proton melancarkan model SUV pertama X70 pada Disember tahun lalu, dengan spesifikasi menakjubkan.

Peluang memandu uji secara ringkas di Pulau Langkawi, baru-baru ini, membolehkan penulis merasai sendiri keunikan SUV nasional pertama ini.

Model dihasilkan secara bersama Zheijiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) sangat dinantikan dan kehadirannya berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap jenama Proton.

Namun, masih ada ‘suara nakal’ yang meragui kemampuan Proton tetapi X70 bukti syarikat kereta nasional ini masih mampu mencabar pesaing mereka.

ENJIN 1.8L TGDI pengecas turbo berkuasa.

Pertama yang membuatkan Proton X70 menjadi pilihan adalah harga ditawarkan dianggap berbaloi.

Dengan harga bermula RM99,800 dan dilengkapi enjin pengecas turbo 1.8L TGDI dengan enam kelajuan automatik, pembeli pasti sukar menolaknya.

Enjin berkuasa ini menghambur kuasa 184 PS pada 5,500 rpm manakala tork maksimum sekitar 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm.

Tidak cukup dengan itu, Proton X70 hadir dengan rekaan menepati citarasa terkini, moden dan futuristik selain ruang dalaman serba mewah.

Semua model juga didatangkan sistem masuk tanpa kunci dan butang menghidup/mematikan enjin, pengawal pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang dan sistem pembersihan udara, enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Menurun Curam dan kamera undur.

BUMBUNG panoramik untuk varian Premium.

Paling mengujakan adalah sistem infotainment Geely Smart Ecosystem (GKUI) berasaskan Android, bersertakan navigasi, streaming lagu dan arahan suara menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Penulis kagum ketika berinteraksi dengan SUV ini terutama untuk menukar lagu dengan hanya menyebut judul lagu sahaja.

Selain itu, ciri pintar ini membolehkan fungsi lain seperti membuka bumbung panoramik (varian Premium), tingkap, mengawal suhu dalaman serta, navigasi dengan penggunaan arahan suara.

Pengendaliannya juga boleh dibanggakan apabila SUV ini menawarkan pecutan yang baik dengan sistem kawalan jitu menjadikan jentera ini seronok dipandu sama ada di lebuh raya, bandar atau laluan kampung yang tenang.

Sepanjang sesi pandu uji ringkas ini, penulis memandu varian Premium juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik

seperti Sistem Bantuan Pemanduan Canggih (ADAS) merangkumi

fungsi Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Amaran Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Membuka Pintu (DOW) serta Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC).

RUANG kokpit menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 12:00 AM