TOYOTA Yaris tampil gaya ranggi hatchback.
Lizam Ridzuan


TOYOTA Yaris Serba Baharu yang disasarkan untuk golongan pembeli muda tampil dengan rekaan kenderaan hatchback segmen-B.

Ia dibangunkan untuk Asean dan dilancarkan ke pasaran tempatan baru-baru ini.

Melalui pengimport dan pengedar eksklusif Toyota di Malaysia iaitu UMW Toyota Motor (UMWT), Yaris dipasang di kilang mereka di Bukit Raja, Selangor.

Tiga varian ditawarkan iaitu Yaris 1.5G, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5J dengan enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i dengan penggunaan bahan api efisien serta prestasi enjin dan kelancaran berterusan.

Dua mod pemanduan, Eco dan Sport (Yaris 1.5G dan E), ditawarkan untuk pilihan ekonomi serta responsif dengan kotak gear transmisi tujuh kelajuan Sport Sequential sebagai ciri standard untuk semua variannya.


SISTEM penyaman udara automatik, sistem DVD-AVX dengan skrin sesentuh tujuh inci berserta panel meter optitron.

Rekaan luaran dengan ciri sporty tampil menyerlah terutama pada bahagian bawah hadapan membawakan wajah ‘catamaran’ serta pada lampu hadapan nipis dipisahkan daripada lampu nyalaan siang (DRL) LED untuk pencahayaan lebih baik.

Antena radio jerung pada bahagian bumbung menambah elemen sporty dengan padanan rim aloi 16 inci yang menarik kecuali untuk J, dengan rim 15 inci, namun tetap menawan.

Dalamannya, Yaris dipasang dengan material berkualiti tinggi terutama pada kabin dan tempat duduk.

Ia juga dilengkapi ciri fleksibel bagi membawa muatan kargo lebih banyak hanya dengan menjatuhkan kerusi belakang.

Antara ciri lain ditawarkan sistem penyaman udara automatik, Sistem DVD-AVX dengan skrin sesentuh tujuh inci berserta ketersambungan USB mirroring dan Monitor Pandangan Panorama (PVM) 360 darjah serta ‘bird’s eye view’.


ELEMEN fleksibel.

Ciri keselamatannya yang menerima Anugerah 5 Bintang NCAP Asean membabitkan tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan dengan Kawalan Cengkaman (TRC), Bantu Mula-Bukit (HSA), Monitor Titik Buta (BSM) serta Amaran Trafik Melintas Belakang, DVR dan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) serta Amaran Pelepasan Laluan ( LDW).

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Citrus Mica Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Yaris dijual pada harga RM70,888 (1.5J), RM76,888 (1.5E) dan RM83,888 (1.5G) dengan jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.


HATCHBACK sporty.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 5:30 AM