MELALUI jalan Gombak lama.
Lizam Ridzuan

TOYOTA Yaris yang dilancarkan baru-baru ini menjurus kelibat kenderaan hatchback segmen-B dengan gaya ranggi sesuai buat golongan muda.

Tiga varian diuar-uarkan iaitu Yaris 1.5G, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5J dengan perbezaan pada kemasan luaran serta ciri pemanduan.

Bagi melenyapkan sebarang keraguan terhadap kelebihan model ini, UMW Toyota Malaysia (UMWT) mengadakan sesi pandu uji media dari Shah Alam, Selangor ke Janda Baik, Pahang.

Lebih 30 wakil media dengan 20 unit Yaris varian G disediakan dengan setiap kereta dipandu oleh dua wartawan permotoran tempatan secara bergilir-gilir.

Selepas sesi taklimat di ibu pejabat UMWT, konvoi pagi itu dilepaskan oleh Pengarah Bahagian Pemasaran UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain ke destinasi pertama iaitu hentian Rehat dan Rawat (R&R) Elmina melalui Lebuhraya Guthrie sebelum bergerak ke Taman Rimba Templer, Rawang.

Yaris dikuasakan dengan enjin enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i, ditala untuk penjimatan serta penyaluran tork dan kuasa lebih lancar.

TAMPIL sporty.

Transmisi tujuh kelajuan ‘Sport Sequential Shiftmatic’ dengan mod manual bagi pandangan penulis sesuai bagi mendapatkan prestasi lebih responsif atau untuk penjimatan dengan mod pemanduan Sport atau Eco.

Kelancaran juga dapat dirasakan sepanjang perjalanan. Kami mencuba pelbagai kelajuan sama ada di lebuh raya atau mengharungi kesesakan di Selayang sebelum memasuki jalan Gombak lama menuju ke Genting Sempah.

Di laluan berselekoh itu, ada ketika kami perlu memintas kenderaan lain dan menukar ke mod sport atau manual CVT bagi memudahkan pintasan dibuat, namun pengendaliannya tetap mantap.

Tiba di Janda Baik, kami berpeluang membuat perbandingan dengan memandu model ‘saingan’ kepada Yaris di Lebuhraya Gombak menuju ke Bentong.

Selepas makan tengah hari, kami melakukan sesi fotografi di kawasan sekitar sebelum berangkat pulang ke Shah Alam.

Sepanjang perjalanan sesi pandu uji itu, penulis dapat rasai kelebihan rekaan dalaman Yaris yang menyediakan ruang selesa dengan teknologi terkini.

Teknologi terkini pada pendingin udara elektronik, kluster meter Optitron dan Paparan Maklumat Pelbagai (MID) memudahkan pemandu merancang perjalanan.

Untuk hiburan, dengan pemain DVD-AVX dilengkapi pencerminan USB selain Monitor Pandangan Panorama untuk kemudahan parkir, ia menambahkan lagi ciri termaju pada varian ini.

WAKIL media yang menyertai sesi pandu uji Yaris.

Ciri keselamatannya yang menerima Anugerah 5 Bintang NCAP Asean membabitkan tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan dengan Kawalan Cengkaman (TRC), Bantu Mula-Bukit (HSA), Monitor Titik Buta (BSM) serta Amaran Trafik Melintas Belakang, DVR dan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) serta Amaran Pelepasan Laluan ( LDW).

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Citrus Mica Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Yaris dijual pada harga RM70,888 (1.5J), RM76,888 (1.5E) dan RM83,888 (1.5G) berserta lima tahun jaminan pengeluar tanpa had perbatuan. #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 5:00 AM