BAUDITSCH (kiri) dan Hunter melancarkan Porsche Macan 2019 untuk pasaran Malaysia.
Lizam Ridzuan


SIME Darby Auto Performance (SDAP) sebagai pengedar utama kenderaan Porsche di negara ini memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Macan baharu 2019.

Model yang mendapat permintaan tinggi di dalam pasaran tempatan untuk jenama itu menawarkan pelbagai ciri baharu antaranya ialah casis yang ditala untuk keselesaan dan prestasi pemanduan.

Model ini juga dilengkapi lampu LED pada bahagian belakang dengan panel tiga dimensi dan lampu brek rekaan empat ‘point’ menyerlahkan gaya premium.

Bampar hadapan baru dengan ruang kemasukan udara lebar dan bampar belakang serta difusser dengan padanan rim aloi 20 dan 21 inci sebagai opsyen menyerlahkan gaya sporty.

Ruang dalaman dengan sistem Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM) dengan skrin sesentuh 10.9 inci, navigasi online, suis mod, ruang kemasukan penghawa dingin baru dan roda stereng GT.

Model yang dijana enjin 2.0 liter empat silinder pengecas turbo ini menawarkan kuasa 252 hp dan tork 370Nm dengan transmisi tujuh kelajuan dwi-klac PDK mampu mencapai kelajuan maksimum 225 kilometer/sejam(km/j).

Untuk pasaran Malaysia Porsche Macan baharu 2019 dijual pada harga RM455,000 dengan empat tahun waranti dengan pakej penyelenggaraan percuma ditawarkan.

Hadir ketika majlis ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Korporat Asia Pasifik Porsche, Bernhard Bauditsch dan Ketua Pegawai Eksekutif SDAP Christopher Hunter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 10:01 PM