Lizam Ridzuan

‘TIADA versi standard’ adalah elemen utama buat peminat kustom di Malaysia.

Ia mengetengahkan bakat seni kustom dan restorasi kenderaan dalam kalangan penggemar seni berkenaan melalui ‘Art Of Speed 2019’ (AOS 2019) yang kini memasuki tahun kelapan penganjurannya.

AOS 2019 adalah medan terbesar yang mengumpulkan karya penghasilan jentera yang diubah suai mengikut ekspresi pereka dalam mencapai kepuasan diri dan ciri komersial.

Lokasi penganjuran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dibanjiri lebih 55,000 pengunjung sepanjang dua hari program.


SUASANA di luar dewan. FOTO KILLEREFFECT

Antara yang menarik pada tahun ini kenderaan vintaj yang diubah suai dibawa khas dari Jepun iaitu ‘BMW R9T Custom’ yang diberi penarafan oleh BMW Motorrad, Ford Falcon keluaran 1961 dan Harley-Davidson FL 1948 yang pernah menggondol beberapa anugerah antarabangsa.

Pameran di Dewan A menempatkan kenderaan daripada tujuh pembina khas yang bersaing untuk hadiah wang tunai RM10,000 (pilihan juri) dan RM5,000 (pilihan pengunjung).


PERTANDINGAN binaan khas. FOTO Aswadi Alias

Tahun ini, memihak kepada ‘Classic Garage’ dari Johor Bahru, Johor dan ‘Carazee Artwork’ dari Klang, Selangor.

AOS 2019 yang mendapat sokongan Petronas untuk kali kedua, kekal meriah dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti jenama kereta miniatur Hot Wheels yang melancarkan siri ‘Japan Historics 3’.


HOT Wheels melancarkan koleksi Japan Historics. FOTO KILLEREFFECT

Selain itu, pelbagai kreativiti bakat tempatan dapat disaksikan daripada motosikal moped dengan tayar besar sehingga jenama premium ‘dikorbankan’ dengan modifikasi maksimum.

Tidak terkecuali dengan kereta yang kebanyakannya model 1980-an sama ada melalui proses restorasi seperti asal atau sentuhan ubah suai terutama bahagian enjin dan roda.


MOTOSIKAL modifikasi anak tempatan. FOTO Aswadi Alias

Paling ditunggu peminat hadiah utama cabutan bertuah untuk pembeli minuman Hausboom iaitu Volkswagen Beetle generasi kedua.

Ia dimenangi Eric Lim dari Kuala Lumpur.


HASIL seni ekzos tinggi. FOTO Aswadi Alias

Melengkapkan acara pada hari kedua, cabutan bertuah di pentas utama dimenangi Tham Wei Ping dari Pulau Pinang yang membawa pulang Mini Cooper klasik yang diubah suai dengan enjin Suzuki Hayabusa oleh FNG Works.


HASIL kerja Carazee Artwork. FOTO Aswadi Alias

Sememangnya acara sebegini meriah dengan kehadiran ramai peminat dunia permotoran tempatan dan antarabangsa.

Ia menampilkan hasil kerja tangan dan pandai besi dalam ubah suai kenderaan yang lebih sesuai untuk tujuan pertunjukan dan pameran. #vroomHM.


PEMENANG kategori Invitational Build Off. FOTO Fad Ali Production

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:30 AM