Lizam Ridzuan


JENTERA kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail diperkenalkan ke pasaran global sejak 2000 dan terjual lebih 800,000 unit di 167 negara.

Generasi pertamanya memasuki pasaran Malaysia pada 2003 sebagai segmen kompak crossover yang popular, terutama sebagai kenderaan kegunaan jabatan kerajaan.

Penulis menggemari reka bentuk model generasi kedua diperkenalkan pada 2010 yang ketika itu diimport sepenuhnya dari Indonesia.

Namun lima tahun kemudian, generasi ketiga serba baharu tampil dengan ciri rekaan berbeza serta lebih sporty.

Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu uji model X-Trail 2.0L 2WD Hybrid yang diperkenalkan pada awal tahun ini oleh pengedarnya, Edaran Tan Chong Motors (ETCM).

X-TRAIL 2019 tampil lebih ranggi. FOTO Azhar Ramli

Ia adalah varian terbaharu dalam barisan model 2019 (facelift) daripada tiga yang tersedia (2.0L 2WD, 2.0L 2WD Mid dan 2.5L 4WD) di negara ini.

Sebelum model hibrid ini dibawa masuk ke Malaysia, penulis pernah memandunya ketika acara Nissan 360 yang dilangsungkan di Yokohama, Jepun sekitar 2015.

Walaupun lewat memasuki pasaran tempatan, ia masih relevan dengan permintaan segmen SUV yang kian meningkat.

Untuk rekaan luaran, varian ini tidak banyak beza dengan model generasi ketiga lain melainkan kemasan dan ciri keselamatan yang baharu.

Bampar hadapannya direka baharu selain reka bentuk gril signatur ‘V-Motion’, lampu nyalaan siang (DRL) LED dan hadapan bentuk ‘Boomerang’ menyerlahkan lagi gaya terkininya.

Bahagian lampu belakang dilengkapi ciri sama tetapi diberi sentuhan perumah gelap yang kelihatan lebih sporty, malah jelas untuk dilihat dari jauh.

Padanan rim aloi 17 inci dengan warna titanium gelap bersaiz 225/65 adalah ciri standard kecuali bagi varian 2.0 liter.

ENJIN 2.0 liter hibrid. FOTO Azhar Ramli

Rona ‘Imperial Umber’ yang kami pandu uji ini juga adalah warna baharu yang diperkenalkan untuk X-Trail ini.

Antena radio juga tampil berbeza dengan yang terbaharu berbentuk sirip jerung.

Menyusuri ruang kabin, ia menawarkan elemen teknologi berwarna gelap dengan ciri yang selesa serta lebih fleksibel.

Berbanding varian X-Trail lain yang didatangkan dengan muatan tujuh tempat duduk, model hibrid ini hanya ada lima.

Ini kerana kedudukan bateri lithium-ion yang menjana kuasa tambahan pada enjin terletak di bawah bahagian baris ketiga.

PAPAN pemuka warna gelap menawan. FOTO Azhar Ramli

Berkaitan papan pemuka, sentuhan kemasan hitam piano pada corong penyaman udara dan material kulit serta ciri penghias panel pintu gentian karbon membolehkannya tampil segar dan mewah.

Tuil gear baharu dibaluti kulit, brek parkir elektronik dengan fungsi ‘Auto Hold’ serta pelapik lutut untuk keselesaan pemandu.

Meter dengan ADAD. FOTO Azhar Ramli

Pada pandangan penulis, rangka stereng ‘flat bottom’ teleskopik kulit dengan fungsi pelayaran dan Paparan Bantu Pemandu Termaju (ADAD) adalah yang tercantik dalam segmennya.

Untuk pemandu, selain odometer dan meter rpm analog, ia dilengkapi ADAD bersaiz lima inci terletak di tengah untuk sistem Mobiliti Pintar Nissan.

Fungsi ini menyediakan larasan bantu pemandu untuk navigasi, penggunaan bahan api, kawalan casis termaju, serta maklumat kawalan pelayaran dan navigasi kompas.

Kerusi pula inspirasi graviti sifar dan untuk bahagian hadapan, ia boleh dilaras menggunakan kuasa elektrik.

Untuk pemandu, ia dilengkapi dengan lapan kedudukan termasuk sokongan lumbar bagi pemanduan lebih selesa.

Kerusi bahagian belakang yang boleh direbahkan dengan nisbah 60:40 memberi lebih ruang kargo daripada 550 liter ke 1,520 liter.

RUANG sehingga 1,520 liter. FOTO Azhar Ramli

Untuk infotainmen, ia dilengkapi skrin sesentuh dan fungsi radio, USB, Aux, BT Audio Bebas Tangan dengan ‘Apple Car Play’ dan ‘Android Auto’.

Penyaman udara dua zon kawalan suhu automatik serta corong khusus buat penumpang belakang antara yang disediakan untuk keselesaan sepanjang perjalanan.

Menyentuh pemanduan, X-Trail 2.0L 2WD Hybrid dijana enjin 1,997cc (MR20DD) DOHC dengan Twin CVTC untuk kuasa 144 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 200 Nm pada 4,400 rpm.

Tenaganya pula ditambah dengan elektrik motor 41PS. Tork 160 Nm pula memberi pemanduan yang lancar serta prestasi.

Pada masa sama, dengan kotak gear transmisi tujuh kelajuan X-Tronic CVT mod manual, ia menjana catatan bahan api sekitar 16.1 liter untuk setiap 100 kilometer (km).

Untuk varian hybrid penulis mencatatkan sekitar 750km untuk satu tangki penuh bahan api 60 liter.

Penulis dapat rasakan kuasa enjinnya terutama ketika memintas kenderaan serta pada laluan di lebuh raya, ia sentiasa mengerah tenaga umpama enjin 2.5 liter.

Bantuan tenaga hibrid terutama tatkala kelajuan rendah dan ketika kenderaan mula bergerak dan gandingan bersama enjin ketika mendaki menawarkan penggunaan bahan api efisien.

Secara keseluruhan, Nissan X-Trail baharu adalah model SUV menarik untuk pasaran tempatan yang diberi penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) termasuk pilihan enjin hibrid.

Ciri ADAD terbaharu menerusi Mobiliti Pintar Nissan seperti kawalan pelayaran pintar, mengawal jarak kenderaan hadapan pada kelajuan sehingga 144km/j.

Ruang dalaman selesa serta rekaan luaran tampil bergaya menjadikan Nissan X-Trail antara SUV yang mempunyai peminatnya tersendiri dan andai inginkan lebih keupayaan di jalan lasak, varian pacuan empat roda boleh dipilih.

Ciri keselamatannya terbaik yang mana ia dilengkapi enam beg udara SRS, Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (FCW) dan Membrek Kecemasan Hadapan Pintar (FEB).

Turut tersedia sistem Bantu Lampu Tinggi (HBA), Kawalan Pelayaran Pintar (ICC), sistem brek anti-kunci (ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Untuk pasaran Malaysia, Nissan X-Trail 2.0L Hybrid pemasangan tempatan (CKD) dijual pada harga RM159,888 dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan termasuk komponen dan Lithium-Ion bateri HEV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:16 AM