Lizam Ridzuan

RUANGAN permotoran mingguan terbaharu dalam talian Harian Metro iaitu VroomTV mula bersiaran malam ini pada jam 9 malam.

VroomTV akan membentang serta membincangkan pelbagai topik terkini dalam dunia permotoran.

Enam segmen dalam VroomTV, dengan tiga segmen pada setiap minggu, akan dipersembahkan sepanjang ia bersiaran selama kira-kira 10 minit.

Segmen dihoskan Lizam Ridzuan ini membabitkan ‘Gerak Dulu’, ‘Overhaul’, ‘Tork’, Barang Baik’, ‘Tips 101’ serta ‘Old Skool/Modi’.

Secara ringkas, Gerak Dulu berkisar kepada pelancaran model kenderaan baharu serta isu hangat dalam dunia permotoran.

Overhaul pula membabitkan tinjauan berkaitan sesuatu isu yang tular atau dekat dengan hati pengguna kenderaan.

Bagi peminat pandu uji pula, segmen Tork sesuai untuk ditonton kerana membabitkan pandu uji kenderaan serta jentera baharu dalam pasaran.

Selain itu, untuk mereka yang gemarkan produk berkaitan barangan permotoran seperti topi keledar keluaran terhad, ia boleh ditonton melalui segmen Barang Baik.

Tips 101 pula mengajak kita untuk memahirkan diri dengan selok-belok asas berkaitan kenderaan seperti kepentingan minyak hitam, tali pinggang keledar dan sebagainya.

Bagi peminat yang gemarkan permotoran kreatif, segmen Old Skool/Modi adalah jawapannya. Ia akan mengupas mengenai ubah suai sesebuah kenderaan seterusnya menjadikannya ‘lebih bernilai’ dan bukan sekadar bahan buangan.

Bagi meningkatkan kualiti kandungan VroomTV, ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa, termasuk dengan mendapatkan maklum balas daripada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:30 AM