AXIA Style 2019. FOTO Asyraf Hamzah
Lizam Ridzuan

MENARIK! Begitu rumusan penulis berkaitan model terbaharu Perodua Axia 2019 melalui varian Style ini.

Menampilkan gaya rekaan luaran persis ‘crossover’, Style adalah ahli keluarga baharu daripada enam varian yang ditawarkan di negara ini.

Untuk rekod, sejak Axia 2019 dilancarkan hujung September lalu, lebih 13,000 unit ditempah dan 3,000 daripadanya membabitkan varian Style sehingga ke tarikh penerbitan ini.

Vroom Metro Ahad berpeluang memandu ujinya yang kini tampil dengan kemasan lebih segar dan ranggi.


BAHAGIAN belakang kekal ranggi. FOTO Asyraf Hamzah

Sebagai model kompak segmen-A yang diperkenalkan pada 2016, lebarnya meningkat ke 1,625 milimeter (mm), tinggi 1,525 mm dan panjang keseluruhan 3,650 mm.

Style tampil ketara menerusi rekaan bampar hadapan dan belakang dengan elemen ‘skid plate’ dan ‘cladding’ badan untuk gaya crossover.

Selain itu, ia dipadankan dengan lampu belakang LED kanta jernih, rel bumbung dan spoiler belakang dengan lampu brek ketiga.


AXIA Style memang bergaya. FOTO Asyraf Hamzah

Style juga satu-satunya model Axia 2019 yang dilengkapi rim aloi lima jejari 15 inci dua tona serta rekaan gril berbeza daripada model yang lain.

Warna Oren Sunrise Metalik hanya untuk model Style agar tampil menyerlah.

Menyentuh bahagian dalaman, antara yang terbaharu ialah kerusi separa ‘bucket’ bergaya dengan fabrik bagai denim.


RIM aloi 15 inci. FOTO Asyraf Hamzah

Ia juga dilengkapi butang menghidupkan enjin kenderaan serta kombinasi meter baharu dengan pencahayaan putih dan merah pada bahagian LCD.

Varian ini tidak didatangkan dengan sistem infotainmen termaju, cuma sekadar dibekalkan pemain radio dengan port USB untuk sambungan muzik daripada telefon pintar dimainkan.

Roda stereng juga selesa untuk dipegang tetapi tiada butang audio, sistem penyaman udara larasan manual serta gear automatik mudah dicapai dan kemasukan tanpa kunci memudahkan urusan keluar masuk.


PAPAN pemuka elemen krom dan hitam. FOTO Asyraf Hamzah

Turut disediakan penyangkut beg tangan berkapasiti tiga kilogram (kg) pada kerusi penumpang hadapan yang boleh dikunci untuk keselamatan terutama kepada pemandu wanita.

Kerusi hadapan juga disertakan cangkuk yang tersimpan kemas untuk tujuan menyangkut selain kerusi belakang dengan Isofix boleh direbahkan untuk lebih ruang muatan.


PENYANGKUT beg keselamatan. FOTO Asyraf Hamzah

Memandu Axia di lebuh raya atau bandar memang cukup ‘enjoy’ melalui enjin 998cc DOHC Suntikan Bahan Api Elektronik (EFI) dengan VVT-i yang menawarkan kuasa 50PS pada 6,000 rpm dan tork 91Nm pada 4,400 rpm.

Ia terdaya mencapai kelajuan maksimum sehingga 140 kilometer sejam (km/j) dan lancar ketika pemanduan dalam bandar dengan tenaga yang dialirkan melalui kotak gear automatik empat kelajuan.


KERUSI fabrik denim selesa. FOTO Asyraf Hamzah

Sebagai model kenderaan pertama di Malaysia yang menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), Style mampu menempuh perjalanan sehingga 300 kilometer bagi isian penuh 33 liter, bergantung kepada corak permukaan jalan, muatan dan gaya pemanduan.

Secara keseluruhan, Style menampilkan gaya lebih ranggi serta tampil lain daripada yang pernah diperkenalkan dalam pasaran.

Selain jarak kelegaan jalan lebih tinggi 15mm, wajahnya umpama kenderaan utiliti sukan (SUV) mini menyerlahkan rekaan kereta kompak yang menarik untuk dimiliki.


BUT dengan kapasiti 260 liter. FOTO Asyraf Hamzah

Fungsi keselamatan seperti Sistem Brek anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Isofix, Kawalan Cengkaman (TRC) serta beg udara SRS adalah ciri yang menyamai kenderaan segmen B dan C.

Style sesuai dijadikan kenderaan pertama mereka yang baru bekerja dan kenderaan tambahan kepada yang berkeluarga dalam melancarkan urusan harian.


ENJIN 1.0 liter VVT-i. FOTO Asyraf Hamzah

Pengendaliannya juga semakin baik terutama ketika melewati selekoh dan jalan tidak rata serta boleh memuatkan empat dewasa dalam kabin dengan selesa.

Selain warna oren, ia juga dengan tiga pilihan warna lain iaitu Putih Ivory, Perak Glittering dan Biru Midnight.

Style dijual pada harga RM38,890 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun atau 150,000km, yang mana lebih dahulu. #vroomHM.

PERODUA AXIA STYLE 2019

• ENJIN: 998cc DOHC Suntikan Bahan Api Elektronik (EFI) dengan VVT-i

• KUASA MAKSIMUM: 50PS pada 6,000 rpm Tork maksimum: 91Nm pada 4,400 rpm.

• TRANSMISI: Empat kelajuan automatik

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 33 liter

• CIRI KESELAMATAN: Sistem Brek anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Isofix, Kawalan Cengkaman (TRC) serta beg udara SRS

• HARGA ATAS JALAN: RM38,890 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:45 AM