TOYOTA Mirai tampil lebih bergaya.
Lizam Ridzuan


KENDERAAN emisi sifar, Toyota Mirai diperkenalkan pada 2014 dengan ciri masa hadapan. Uniknya, ia menggunakan tenaga baharu daripada sel hidrogen elektrik (FCEV).

Ia hanya untuk jualan di Jepun, Amerika Utara dan Eropah kerana kemudahan pengecas menggunakan FCEV yang ada di sana.

Bersempena Toyota Motor Show (TMS 2019) di Jepun, Toyota Motor Corporation mendedahkan model konsep Mirai generasi kedua yang dijangka dijual pada akhir 2020.

Model serba baharu ini tampil dengan rekaan dan platform serta sel tenaga (FC) serba baharu bagi mempertingkatkan lagi pengalaman memandu jentera elektrik pacuan roda belakang.

Ia kini menjangkau 30 peratus lebih jarak perbatuan malah boleh memuatkan lima penumpang berbanding model lalu hanya empat.


REKAAN sporty dan dinamik

Rekaan keseluruhan juga lebih elegan dengan Mirai kini 85 milimeter (mm) lebih panjang, 70mm lebih lebar selain jarak tapak roda 140mm. Penambahan ini seharusnya memberi keselesaan kepada penumpang.

Bagi memperlihatkan gaya coupe, bumbung Mirai direndahkan 65mm, saiz rim ditambah menjadi 20 inci selain dipasang dengan tayar 80mm lebih lebar.

Ruang dalaman juga hadir dengan rekaan lebih premium berwarna hitam dan kulit. Ia mendominasi papan pemuka serta konsol tengah.

Untuk keperluan maklumat teknikal Mirai, pengeluar menyediakan paparan meter bersaiz 12.3 inci dan panel instrumen meter.

Bahagian pintu dipadankan dengan lapisan kulit lembut berwarna cerah dan coklat gelap serta kemasan hitam piano untuk sentuhan kemewahan.


RUANG dalaman kemas dan ringkas,

Corak pengendaliannya makin lancar dengan kawalan yang lebih stabil dan tepat ketika melalui selekoh serta meluncur di lebuh raya hasil platform modular yang diperkenalkan.

Ketua Jurutera Mirai, Yoshikazu Tanaka berkata, selain rekaan yang lebih moden, ia juga dibangunkan selari dengan konsep dan hala tuju Toyota Motor Corporation.

“Pantas dan responsif adalah kelebihan utama model ini bagi memastikan pemiliknya mendapat kepuasan pemanduan.

“Pada masa sama, tiada pelepasan asap berlaku yang menepati ciri kereta mesra alam,” katanya.

Mirai juga bukan sekadar kenderaan-eko malah ia dibangunkan sebagai persiapan Toyota menjadi penyedia teknologi berasaskan bateri elektrik baharu pada masa hadapan.


TOYOTA Mirai

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:10 AM