Subaru Forester 2.0 i-S EyeSight 2019
Asraf Awaluddin


TEKNOLOGI canggih bantuan pemandu ‘EyeSight’ yang melengkapi varian tertinggi Subaru Outback 2018, WRX 2.0 CVT dan Forester 2019 umpama mata tambahan pemandu bagi menilai risiko pelanggaran seterusnya mengelakkan kemalangan.

Subaru Forester 2.0i-S EyeSight menjadi model ketiga selepas Outback 2.5i-S EyeSight dan WRX 2.0 CVT dilengkapi teknologi bantuan pemandu itu.

Ia sekali gus berpotensi untuk didatangkan bersama barisan keluaran Subaru akan datang dalam usaha mempertingkatkan keselamatan buat pemandu dan penumpang.

EyeSight yang dipasang pada varian tertinggi Forester baharu merangkumi lima fungsi iaitu Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong, Amaran Kenderaan Pemula, Brek Pra Pelanggaran (PCB) dan Pengendalian Pendikit Pra Pelanggaran (PCTM) yang dilihat melalui sepasang kamera di dalam kabin.


MELALUI ACC Forester 2.0i-S EyeSight berupaya mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan ketika trafik sibuk.

ACC memberikan kelebihan kepada pemandu ketika perjalanan jauh di lebuh raya dengan hanya perlu menetapkan aturan kelajuan tertinggi dan terendah dikehendaki seterusnya EyeSight secara automatik mengekalkan jarak selamat kenderaan dalam julat kelajuan 0 hingga 180km/jam.

Ia mengurangkan keperluan pemandu untuk menekan pedal brek dan pendikit sekali gus menempuh perjalanan jauh dengan selesa.

Forester baharu juga dilengkapi Amaran Keluar Lorong jika EyeSight mengesan kenderaan cenderung ke lorong lain seterusnya membunyikan amaran dan penanda pada paparan skrin odometer.

Amaran Kenderaan Pemula pula membantu menyedarkan pemandu yang leka jika kenderaan di hadapan mula bergerak terutama ketika berhenti di lampu isyarat.

Varian tertinggi Forester baharu juga dilengkapi PCB dan PCTM berupaya mencegah kemalangan, sekali gus melindungi pemandu, penumpang serta kenderaan daripada kerosakan.


SUV berhenti sebelum sempat melanggar halangan dalam ujian pelanggaran.

PCB berfungsi dalam tiga peringkat iaitu amaran, kawalan brek pertama dan kawalan brek sekunder.

Pada peringkat amaran, sistem mengeluarkan bunyi bagi menyedarkan pemandu seandainya EyeSight mengesan risiko pelanggaran.

Jika pemandu tidak menekan pedal brek, mengawal stereng atau mengambil apa-apa tindakan, kawalan brek pertama diaktifkan.

Kawalan brek sekunder pula memberhentikan kenderaan secara mendadak jika pemandu tidak mengambil tindakan mencukupi walaupun selepas amaran dan kawalan brek pertama diaktifkan.

Bagaimanapun, PCB tidak diaktifkan jika pemandu berada dalam kawalan dan menekan pedal brek pada peringkat amaran.

Namun, PCB boleh mengambil alih dengan mengaktifkan kawalan brek sekunder jika sistem mengesan pemandu tidak menekan brek dengan mencukupi bagi mengelak pelanggaran hadapan.

PCTM pula mengelak kenderaan meluncur ke hadapan sekiranya pemandu secara tidak sedar menukar gear ke mod ‘pandu’ ketika berada di parkir, sekali gus mengelak pelanggaran hadapan.

Walaupun teknologi EyeSight bantu menilai risiko pelanggaran, pemandu bertanggungjawab terhadap pemanduan berhemah dan mengikut peraturan jalan raya.


INDIKATOR amaran halangan hadapan pada paparan skrin odometer.

Seperti teknologi bantuan lain, EyeSight mempunyai batasan operasi sekiranya memandu dalam hujan lebat, persekitaran berkabus dan pancaran terus cahaya matahari ke arah kamera.

Dalam keadaan itu, penanda EyeSight tidak berfungsi akan terpapar pada skrin odometer bagi menyedarkan pemandu supaya mempertingkatkan perhatian di jalan raya.

Penolong Pengurus, Perancangan Produk Serantau Motor Image Subaru, Azfar Hashim berkata, melalui dapatan Institut Penyelidikan Kemalangan Lalu Lintas dan Analisis Data (ITARDA) yakni institusi kajian keselamatan jalan raya di Jepun, ia menunjukkan, bagi 10,000 unit kenderaan dilengkapi EyeSight, ia mempunyai kira-kira 80 peratus kurang kemalangan membabitkan kenderaan.

“Dapatan kajian itu juga menunjukkan 50 peratus kurang kemalangan membabitkan pejalan kaki dan 60 peratus kurang kemalangan secara keseluruhan berbanding kenderaan yang tidak dilengkapi teknologi bantuan pemandu EyeSight,” katanya.

Menurut Azfar, teknologi yang terbina dalam EyeSight mengesan persekitaran dalam tiga dimensi (3D), menilai saiz halangan hadapan, mengukur jarak dan kelajuan kenderaan di hadapan sebagaimana mata.

“EyeSight menerusi dua kamera stereo menilai perbezaan kedudukan, ketidaksamaan dan jurang objek di hadapan.

“Objek kecil mempunyai jurang jauh dan sebaliknya, tidak ubah seperti mata manusia menilai jarak serta kedudukan,” katanya.

Kesedaran pengguna terhadap keselamatan jalan raya menunjukkan peningkatan dengan lebih sejuta unit kenderaan dilengkapi teknologi EyeSight sudah terjual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:05 AM