SYED Zainal Abidin (dua dari kiri) bersama Jim Khor (tengah) dan Razlan (dua dari kanan) ketika pelancaran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Lizam Ridzuan


HONG Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) sebagai pemasang dan pengedar motosikal Yamaha di negara ini melancarkan model Lagenda GP Edisi Terhad.

Pengarah Urusannya Datuk Jim Khor berkata, model ‘cub’ Lagenda 115Z itu kini ditawarkan dengan warna rasmi Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) adalah yang pertama dihasilkan oleh mereka.

“Sebelum ini kami pernah menawarkan motosikal dengan warna pasukan utama MotoGP Yamaha dan rekaan kali ini diinspirasikan daripada jentera YZR-M1 pasukan SRT yang ditunggang oleh Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo pada musim 2019,” katanya ketika pelancaran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) petang tadi.

Turut hadir ialah Naib Presiden Pemasaran dan Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

Selain terhad sebanyak 5,000 unit sahaja, setiap pembelian akan disertakan dengan sijil pemilikan yang akan mula dijual di seluruh negara mulai pertengahan Disember 2019.

Model ini dilengkapi dengan enjin 113.7 sejukan udara, empat lejang SOHC yang menjana kuasa 7.4KW pada 7,750 rpm dan tork maksimum 9.9Nm pada 6,500 rpm.

Yamaha Lagenda 115Z GP Edisi Terhad ini dijual pada harga RM5,580 dengan jaminan dua tahun pengeluar atau 20,000 kilometer (km).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 3:24 PM