PROTON X70 diiktiraf Kereta Terbaik Keseluruhan 2019. FOTO Azhar Ramli

PROTON X70 yang dilancarkan pada Disember 2018 telah dinamakan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019.

Ini adalah kali pertama model Proton memenangi pengiktirafan berprestij itu di Anugerah Kereta Tahunan Malaysia ke-18.

Proton dalam kenyataan berkata, Proton X70, kenderaan utiliti sukan (SUV), segmen C yang serba mewah dan paling popular di Malaysia itu, turut menggondol pengiktirafan dalam kategori SUV lima tempat duduk/sederhana, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Proton (CEO) Dr Li Chunrong telah diberi penghormatan sebagai Individu Automotif tahun ini.

"Melalui pengiktirafan itu, Chunrong menjadi CEO Proton ketiga yang menerima penghargaan berkenaan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Proton Saga yang baru-baru ini menerima peningkatan turut menerima anugerah sebagai Sedan Peringkat Permulaan dan Hatchback. Ia menarik banyak perhatian sejak dilancarkan pada 6 Ogos 2019.

"Sehingga kini, lebih 42,000 tempahan telah diterima dan sejak dua bulan terakhir 2019, ia menjadi sedan segmen A yang paling laris di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 4:34 PM