CABARAN TGR Festival Pulau Pinang.
Lizam Ridzuan


PULAU Pinang menjadi medan persaingan pusingan ketiga Toyota Gazoo Racing Festival (TGR Festival) yang bakal menyaksikan pelumba daripada tiga kategori Vios Challenge meneruskan cabaran.

Perlumbaan diadakan di perkarangan Stadium Batu Kawan bermula jam 9 pagi pada 15 hingga16 Februari (Sabtu dan Ahad) ini adalah penting menentukan kejuaraan di dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Promotional.

Ia adalah perlumbaan terakhir yang dipertandingkan di litar jalanan sebelum acara kemuncak berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada April hadapan.

Dua perlumbaan pertama Musim ke-3 sudah dilangsungkan di litar jalanan Kuala Terengganu dan Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.

Selain penampilan istimewa 10 selebriti tempatan antaranya Janna Nick, Nabil Ahmad dan Wani Hasrita yang berlumba dalam kategori Promotional, buat mereka yang gemarkan aktiviti sihat, TGR Festival akan menganjurkan acara larian di dalam litar serta sesi zumba pada hari Ahad.

Pendaftaran adalah percuma dengan cenderahati akan diagihkan bagi 500 peserta terawal.

Turut dipamerkan ialah kereta GR Supra bagi perlumbaan Super GT sempena dengan Kejuaraan Super GT pusingan Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bulan Julai nanti.

Tarikan lain yang turut disediakan ialah pameran sebuah model Toyota KE-10 1968 yang dibaikpulih sepenuhnya, pameran kereta retro oleh Art of Speed serta pameran motosikal dan cenderahati Harley-Davidson, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi.

Untuk kanak-kanak disediakan pertandingan bey blade, jualan model kereta Hot Wheels serta pertandingan senapang Nerf. Masuk adalah percuma ke TGR Festival.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 11:24 PM