X
Lizam Ridzuan

SEKALI pandang, model Volkswagen Passat Elegance hampir sama dengan model terdahulu dan kenderaan segmen-D lain dalam pasaran negara ini yang menampilkan gaya eksekutif serta keselesaan penumpang.

Namun, di sebalik sentuhan sederhananya, Volkswagen Passat Elegance yang diperkenalkan di negara ini Januari lalu selepas empat bulan dilancarkan di Jerman, turut menerima beberapa kemasan luaran dan dalaman baharu.

Bagi bahagian luaran, ia tampil dengan rekaan lampu IQ hadapan dengan bentuk baharu lebih nipis, lampu nyalaan siang (DRL) signatur terkini dan lampu membelok bagi sudut pencahayaan yang luas.

Emblem Passat pada penutup but paling mudah membezakannya dengan model terdahulu, selain itu rekaan lampu belakangnya juga tampil lebih menarik.

Rim aloi 18 inci yang diberi nama Liverpool sepadan dengan keseluruhan rekaan menampilkan ciri elegan dan sporty.

Ruang dalaman pula paling banyak menerima penambahbaikan seperti kemasan baharu terutama pada bahagian papan pemuka dengan sistem hiburan skrin sesentuh bersaiz 9.2 inci bersama kawalan suara dan pergerakan tangan yang boleh disambungkan dengan Apple CarPlay.

RUANG dalaman selesa dengan pembaharuan teknologi.
RUANG dalaman selesa dengan pembaharuan teknologi.

Untuk pemandu, disediakan kluster meter paparan pelbagai maklumat TFT bersaiz 11.7 inci dengan ciri dua dan tiga dimensi yang mempunyai pelbagai maklumat perjalanan seperti yang ada pada telefon pintar.

Lampu suasana 30 pilihan warna juga memberikan kesegaran tersendiri di dalam kabin.

Kerusi kulit Vienna larasan elektrik untuk pemandu dan penumpang hadapan serta pada bahagian belakang masih kekal dengan rekaan sama.

Untuk kemudahan dan ciri praktikal, kerusi belakang boleh direbahkan dengan menarik butang pada bahagian but serta pintunya boleh dibuka menerusi pengesan kaki ciri elektronik.

Antara ciri terbaharu lain ialah penyaman udara Climatronic tiga zon dan pelindung suria cermin belakang elektrik yang boleh diturunkan secara automatik melalui butang kawalan di konsol tengah.

Untuk prestasi enjin, Volkswagen Passat Elegance dikuasakan dengan enjin 2.0 liter TSI suntikan terus bahan api dan pengecas turbo yang dipadankan dengan kotak gear klac basah tujuh kelajuan (DSG) baharu yang ditambahbaik pada model ini.

KOKPIT digital meter pelbagai maklumat TFT.
KOKPIT digital meter pelbagai maklumat TFT.

Ia menghamburkan kuasa 190PS dan tork 320Nm yang menggabungkan prestasi dan penggunaan bahan api yang sangat efisien sekitar 6.5 liter untuk setiap kilometer (km).

Untuk pengendalian, suspensi McPherson pada bahagian depan memberinya kestabilan pada pelbagai kelajuan.

Bahagian belakangnya pula dilengkapi suspensi Multilink dan ia cukup selesa untuk perjalanan jauh.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti kapasiti bahan apinya dengan 66 liter.

Ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 800 kilometer.

Volkswagen Passat Elegance juga didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik seperti Bantu Sisi, Amaran Trafik Melintas Belakang, Sistem Pemantauan Titik Buta, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), Kawalan Kestabilan Elektrinik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantu Brek (BA) serta enam beg keselamatan.

BAHAGIAN belakang gaya ringkas.
BAHAGIAN belakang gaya ringkas.

Ruang butnya pula seluas 586 liter dan ia antara yang terbesar dalam segmennya.

Untuk pasaran Malaysia, enam pilihan warna ditawarkan untuk Volskwagen Passat Elegance.

Ia dijual pada harga RM181,856 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan dan tiga tahun penyelenggaraan percuma.

Selain Elegance, terdapat juga varian United (RM193,856) dan R-Line yang akan diperkenalkan ke dalam pasaran tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 7:00 AM
CIRI kemasan luaran baharu.
CIRI kemasan luaran baharu.