PESERTA acara larian lima kilometer bersedia untuk dilepaskan. FOTO Saifullizan Tamadi
Zaitie Satibi


BIARPUN insiden jerebu yang melanda negara menjejaskan sedikit penganjuran program Larian Malam Ampang Jaya baru-baru ini, acara berkenaan tetap meriah dengan kehadiran seramai 2,200 peserta yang penuh semangat.

Acara larian malam anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu bertujuan menggalakkan masyarakat setempat aktif bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Program itu juga diharap mendekatkan pihak MPAJ dengan orang ramai termasuk menerima pelbagai aduan dan cadangan berkaitan perkhidmatan ditawarkan pihak berkuasa tempatan itu.


MEMANASKAN badan dengan tarian zumba sebelum berlari. FOTO Saifullizan Tamadi

Setiausaha MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, acara larian itu yang menyaksikan persaingan membabitkan kategori 12 kilometer (km) terpaksa dibatalkan berikutan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kurang memuaskan, sebaliknya mengekalkan kategori santai 5km.

“Selain aktiviti berbasikal yang popular, larian juga satu bentuk sukan dan rekreasi yang membawa ke kehidupan sihat dan ia semakin mendapat tempat pada sanubari masyarakat kita. Malah, kami juga tidak menjangka larian yang dianjurkan pada sebelah malam ini mendapat reaksi positif dalam kalangan peserta.

“Ini terbukti apabila penganjuran acara larian yang memasuki tahun keempat ini berjaya menarik minat ribuan penggemar aktiviti larian dan riadah. Kami anggap penganjuran ini juga mencapai objektifnya iaitu ingin menggalakkan orang ramai aktif bersukan bersama keluarga dan rakan-rakan.


PERSEMBAHAN angklung oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat. FOTO Saifullizan Tamadi

“Pada penganjuran akan datang, kami ingin mempromosikan acara larian ini dengan lebih besar supaya dapat menarik lebih ramai peserta setiap tahun,” katanya.

Majlis pelepasan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib pada jam 9.45 malam di pekarangan Melawati Mall sebelum peserta berlari melalui beberapa laluan di sekitar Taman Melawati dan berakhir di lokasi pelepasan.

Dalam larian itu, empat kategori dibuka iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita dengan menawarkan hadiah wang RM500 bagi johan setiap kategori, pemenang kedua menerima RM400, ketiga RM300 dan keempat hingga ke-10 pula RM100 berserta plak.


ACARA berjalan lancar dan peserta cekal menghabiskan larian dalam cuaca berjerebu. FOTO Saifullizan Tamadi

Bagi memeriahkan acara, pihak penganjur mengadakan program zumba, persembahan nyanyian dan alat muzik tradisional angklung. Peserta juga berpeluang membawa pulang hadiah perkakas elektrik menerusi cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:00 AM