DILANCARKAN oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Nurul Husna Mahmud


INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sentiasa melakukan pembaik bakaan bagi meningkatkan kualiti baik segi rasa dan estetik buah dalam usaha mengembangkan pasaran eksport negara.

Terbaharu MARDI memperkenalkan klon ‘Bintang Mas’ yang memiliki ciri-ciri belimbing hibrid B17 dan B10.

Berbanding buah tropika lain seperti mangga, nanas mahupun pisang yang mendapat permintaan tinggi dalam dan luar negara, belimbing tidak begitu popular kerana kualiti buah tidak memenuhi permintaan peminat.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Hortikultur (Klon Baharu Belimbing), Ahmad Hafiz Baharom berkata, dalam menjadikan belimbing sebagai tarikan peminat, MARDI membangunkan klon Bintang Mas yang memiliki ciri-ciri terbaik berbanding B17 dan B10.


FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Sebelum ini kita memasarkan B10 untuk pasaran eksport dalam indeks kematangan dua iaitu keseluruhan buah berwarna hijau muda.

“Namun, terdapat kekurangan seperti tidak cukup manis dan tidak berwarna kuning.

“B17 lebih dikenali sebagai belimbing madu untuk pasaran tempatan kurang diminati kerana jangka masa matang yang panjang, rasa kelat dan kosmetik yang tidak cantik kerana terdapat bintik-bintik hitam.“Justeru ketika kajian jana plasma membabitkan hibrid baharu belimbing dilakukan, genetik buah itu ditambah baik dan sesuai untuk pasaran domestik dan eksport.

“Penambahbaikan dilakukan termasuk dari segi kosmetik (rupa), kemanisan, tiada rasa kelat dan fizikal yang lebih baik selepas pengendalian tuai.

“Ini secara tidak langsung menarik perhatian peminat buah tempatan yang sebelum ini tidak menyukai rasa kelat boleh menikmati buah berkenaan,” katanya.

Menghuraikan sejarah kajian baka berkenaan, kata Ahmad Hafiz, Malaysia bertuah kerana baka belimbing berasal dan berpusat di Asia Tenggara sering menjadi rujukan negara luar untuk mendapatkan sumber genetik yang baik.

“Bagi mendapatkan klon terbaik seperti Bintang Mas, kita mengambil tempoh 29 tahun untuk dapatkan kualiti atau hibrid belimbing ini.


FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Asalnya ia adalah hasil daripada klon pendebungaan dengan B17.

“Mengenai B17 yang juga dikenali sebagai belimbing madu, untuk pasaran tempatan ia kurang diminati kerana rasa kelat dan rupa kurang menarik.

“Proses mengumpul genetik dilakukan sehingga 1990 sebelum memulakan program pembaikbakaan pada 1991.

“Pada ketika itu empat induk dikenal pasti iaitu B2, B10, B17 dan B11.

“Keempat-empat induk itu adalah kacukan berdasarkan kombinasi dua jenis bunga.

“Hanya pada 2008 hingga 2015 semasa penilaian seterusnya dilakukan berhasil mengenal pasti satu daripada tiga hibrid terbaik,” katanya.

Sementara itu Pengarah MARDI Johor, Dr Johari Sarip menggalakkan golongan petani beralih ke tanaman belimbing yang bukan saja menguntungkan dari segi ekonomi, malah amat mudah dijaga.

Katanya, pokok belimbing perlu ditanam di kawasan terbuka supaya menerima cahaya matahari yang penuh selain tiada musim.


POTENSI Bintang Mas boleh dieksport segar. FOTO Nurul Shafina Jemenon

“Setakat ini sebanyak tiga stesen kajian dilakukan membabitkan Kluang, Sintok dan Jeram Pasu.

“Dalam ketiga-tiga stesen mendapati yang terbaik adalah zon ketiga iaitu Kluang mewakili kawasan Selatan dan tengah iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

“Kawasan ini menerima taburan hujan yang sederhana selain ditanam di kawasan bersaliran baik.

“Berbanding di dua stesen iaitu Utara dan Timur, taburan hujan tidak konsisten iaitu terlalu kurang dan kerap.

“Itu boleh diperbaiki baik segi sistem teknologi siraman lebih baik selain amalan pengurusan ladang yang cekap,” katanya.

Baka hibirid ini juga kata Dr Johari boleh mengeluarkan tiga hingga empat kali tuai setahun menerusi cantasan pokok dari semasa ke semasa untuk mempengaruhi pengeluaran bunga dan buah secara serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:05 AM