PESERTA Wacoal Pink Ribbon Awareness Ride 2019 memulakan kayuhan dari Central Park Bandar Utama. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Helmy Abd Rahman


Lautan merah jambu mewarnai sebahagian Bandar Utama, Petaling Jaya, minggu lalu apabila seramai 700 penunggang basikal memakai baju merah jambu menyertai Wacoal Pink Ribbon Awareness Ride 2019.

Kempen dianjurkan untuk kali keenam bertujuan mempromosikan kesedaran mengenai barah payu dara kepada orang ramai.

Kayuhan santai sejauh 25 kilometer (km) itu bermula dari Central Park di Bandar Utama sebelum melewati Sunway Damansara, Kota Damansara, Tropicana dan Ara Damansara dengan peserta dilepaskan jam 7.15 pagi,

Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia, Tsutomu Fujimura sebelum itu sempat menyampaikan sumbangan berupa 70 unit mamogram bernilai RM10,000 kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang diwakili Timbalan Pengurus Besarnya, Vemanna Appannah.

Sumbangan itu membolehkan MAKNA menyediakan perkhidmatan mamografi kepada wanita kurang bernasib baik di kawasan pedalaman menerusi klinik bergerak badan itu.

Difahamkan, jumlah sebanyak 70 unit itu adalah simbolik kepada sambutan 70 tahun Wacoal di Malaysia tahun ini.

"Program ini bertujuan membantu orang ramai menerima maklumat mengenai kepentingan mengesan awal tanda barah payu dara. Ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami bagi mempromosikan kempen ini yang dijalankan pada Oktober setiap tahun.


FUJIMURA (dua kanan) bersama peserta Wacoal Pink Ribbon Awareness Ride 2019 di Central Park Bandar Utama, Dataran Bandar Utama, Bandar Utama. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

"Wacoal mempromosikan Kempen Riben Merah Jambu sejak 2003 lagi bagi meningkatkan kesedaran terhadap barah payu dara kepada orang ramai.

"Mengikut maklumat daripada MAKNA, dianggarkan satu daripada wanita Malaysia berisiko mendapat barah payu dara sepanjang hidup mereka tetapi malangnya kesedaran mengenai bahaya barah ini masih rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini," jelasnya.

Acara kayuhan santai berkenaan tambahnya, adalah sebahagian daripada Kempen Riben Merah Jambu yang diadakan di 14 pejabat Wacoal di seluruh dunia.

"Wacoal juga mempunyai barisan produk dipanggil Remamma untuk wanita yang pernah menjalani pembedahan barah payu dara," ujarnya yang turut menyertai kayuhan santai itu bersama anak lelakinya berusia lima tahun.

Katanya, Wacoal Malaysia juga menjalankan Kempen Pemakaian Riben Merah Jambu sepanjang bulan ini di semua cawangannya di seluruh negara.

"Kempen ini membolehkan wanita untuk mendapatkan pandangan daripada perunding kecantikan bagi pemakaian bra dan menerima pek hadiah Merah Jambu mengandungi pelbagai informasi berkaitan topik pemeriksaan sendiri payu dara," tambahnya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan bersama peserta antaranya cabutan bertuah dan pemberian baucer sebanyak RM1,000 bagi kategori basikal tercantik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 4:58 PM