Zaitie Satibi


MEMPUNYAI isi yang tebal dan manis, lekang tanpa testa (berkulit berkayu), penampilan buah menarik, bersaiz besar dan tekstur isi yang rangup selain kering adalah ciri-ciri dua klon baru rambutan hasil inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Dua klon yang dinamakan Mutiara Merah (AG28) dan Mutiara Wangi (GB44) itu bukan saja diyakini mampu menandingi klon rambutan yang ada di pasaran, malah mampu menjadikan industri buah tempatan berkenaan di negara ini lebih berdaya saing sekali gus muncul antara eksport utama pada masa hadapan.

Antara fokus bagi penghasilan rambutan baru itu adalah bagi mengelakkan lambakan dan bekalan buah berterusan, membolehkan pokok berbuah sama ada awal, lewat atau luar musim, berbuah lebat setiap tahun.

Ia termasuk mengurangkan masalah penuaian, menghasilkan pokok kerdil atau separa kerdil, membantu industri pengeluaran benih, pokok mudah dibiakkan, kualiti buah yang baik untuk pasaran tempatan dan eksport.

Menurut Pegawai Penyelidik Bahagian Buah-Buahan, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI di Sintok, Kedah, Salehudin Md Radzuan, penyelidikan bagi klon baru rambutan berkenaan bermula seawal 1980-an lagi apabila MARDI mengumpul dan menyemai kira-kira 10,000 biji benih rambutan daripada dua klon popular pada masa itu iaitu Gula Batu (R99) dan Singapura (R134).

“Buah dokong, durian dan rambutan adalah daripada jenis tanaman saka iaitu boleh hidup sehingga puluhan tahun.


SALEHUDIN menunjukkan penampilan rambutan klon baru yang lebih menarik.

“Jika dilihat di kawasan kampung, pokok buah ini menjadi harta warisan yang diturunkan ke anak cucu.

“MARDI sebagai satu institut penyelidikan yang menilai kualiti buah untuk mendapatkan klon terbaik bagi tanaman saka ini juga mengambil masa puluhan tahun untuk membuat penyelidikan,” katanya.

Daripada 10,000 biji benih yang disemai, penyelidik menilai peratusan yang hidup 5,400 anak pokok selepas dipindahkan ke ladang. Setiap satu anak pokok itu dinilai untuk mendapatkan klon yang terbaik.

“Kami menjalankan cantasan bebas berperingkat atau penakaian (proses pengasingan) untuk membuang anak pokok yang kurang baik.

“Penakaian pertama kita jalankan pada anak pokok yang bermasalah seperti mudah diserang penyakit, perosak dan gangguan fisiologi seperti serangan kulat, batang berbonggol-bonggol dan masalah keruping.

“Pada penakaian kedua, kami membuang pokok rambutan jantan dan pokok yang mempunyai tempoh ‘juvenility’ (muda) yang lama.

“Ketika dinilai di ladang, pokok yang masih tidak berbunga dan memberi hasil selepas tempoh lapan tahun penanaman akan dibuang.

“Penakaian ketiga ditumpukan kepada ciri pembuahan setiap tahun dan keseragaman masak.

“Semasa menjalankan penelitian, didapati ada rambutan yang masak tidak serentak dalam setangkai, malah ada juga yang masak tidak serentak dalam satu buah apabila warna kulitnya ada hijau, kuning dan merah.

“Pokok sebegini dibuang kerana ia akan memberi masalah ketika penuaian.

“Peringkat akhir penakaian ditumpukan kepada kualiti buah yang dinilai daripada segi hasil, kemanisan, kelekangan, tekstur dan pelbagai lagi ciri yang diambil kira bagi mendapatkan rambutan yang terbaik.


KLON baru rambutan dilancarkan Salahuddin (dua kanan) diiringi Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor (kanan).

“Daripada lebih 5,000 anak pokok yang disenarai pendek, hanya beberapa saja menunjukkan ciri-ciri yang amat bagus dan antara dua yang disenaraikan itu adalah Mutiara Merah dan Mutiara Wangi,” katanya.

Nama unik rambutan klon baru itu dipilih sendiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sempena pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Buah-buahan Tropika di MARDI Sintok pada Julai 2018.

Turut dilancarkan rambutan klon baru berkenaan yang merujuk kepada ciri khas setiap rambutan.

Mutiara Merah dikatakan mempunyai kulit dan rerambut yang merah dan kelihatan cantik berbanding Anak Sekolah (R191) yang mempunyai sedikit hijau di rerambut, manakala Mutiara Wangi memiliki sedikit aroma pada buahnya.

Rambutan klon baru berbeza dengan rambutan lain di pasaran daripada segi kualiti dan penampilan buah.

Mutiara Merah mempunyai penampilan luaran yang baik, tekstur isi yang kenyal dan kering, aroma buah yang sederhana dan lekang bertesta, manakala Mutiara Wangi pula lekang dengan separuh testa nipis, tekstur yang rangup dan kering, aroma yang ketara serta penampilan buah yang menarik.

Kedua-dua klon ini memberikan hasil yang lebih tinggi berbanding Anak Sekolah iaitu sekitar lapan hingga 14 peratus dan mengeluarkan buah lebih awal.

Proses penghasilan klon baru ini mengambil masa yang panjang, selepas mengenal pasti klon yang berpotensi ia akan dibiakkan dengan teknik pembiakan vegetatif bagi mengekalkan bahan genetik tanaman itu. Anak pokok yang dihasilkan akan mengeluarkan buah yang sama kualiti dengan induk kelak dan antara teknik yang digunakan adalah cantuman baji dan mata tunas.

“Ramai yang bertanya adakah kita akan dapat hasil yang sama seperti induk jika menanam biji rambutan daripada Mutiara Merah dan Mutiara Wangi ini.

“Ini adalah satu fahaman yang kerap berlaku apabila ramai beranggapan kita akan dapat pokok yang menghasilkan buah sama apabila menanam biji benih buah yang dimakan.

“Perlu dijelaskan, bagi sesetengah pokok ia boleh berlaku seperti manggis dan dokong apabila biji yang dihasilkan mempunyai genetik yang sama seperti induk, namun bagi kebanyakan buah-buahan berlaku proses persenyawaan benih yang menghasilkan biji (bahan genetik dari induk jantan dan betina).

“Maka anak pokok yang dihasilkan kualitinya tidak sama seperti induk,” katanya.

Menurutnya, rambutan klon ini tidak mempunyai masalah serangan perosak dan penyakit yang serius.

Jelasnya, serangan perosak dan penyakit jika berlaku hanya minimum dan boleh dikawal menggunakan racun di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:10 AM