Wan Azfarozza Wan Athmar


MENATAP gambar pemandangan Maldives menerusi Internet, terlintas di hati penulis, mungkinkah ia hanya sekadar gambar yang diubah suai menggunakan perisian oleh jurugambar profesional?

Rasanya terlalu indah bagi pemandangan kepulauan Maldives itu. Wujudkah tempat seperti itu?

Setiba penulis di Maldives, keraguan awal itu berubah kerana sesungguhnya Maldives lebih cantik dan indah berbanding gambar terpapar pada skrin.

Terletak di Lautan Hindi, barat daya India dan Sri Lanka, Maldives merangkumi 1,190 pulau yang terletak di 26 atoll, iaitu bulatan yang terbentuk daripada batu karang.

Bagi mereka yang ingin berkunjung ke Maldives, perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang empat jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Male.

Setiba di Male, terserah pada anda untuk memilih pulau mana yang ingin dituju dan pilihan kembara penulis kali ini ialah Pulau Kuramathi.

Ada dua jenis pengangkutan disedia untuk ke mana-mana pulau, sama ada pesawat laut atau bot laju. Terserah pada cita rasa masing-masing.

Penulis memilih untuk menaiki bot laju dari jeti di Male ke Pulau Kuramathi yang mengambil masa lebih kurang sejam untuk tiba ke destinasi. Terpukau dengan kehijauan laut dan keindahan pulau-pulau di sekeliling, perjalanan menaiki bot laju tidak terasa jauh.

Jauh dari kota Male, rasa teruja tidak dapat disembunyikan lagi apabila semakin hampir ke pulau yang dituju. Semakin jernih air laut yang membiru terlihat dan ada beberapa kumpulan ikan yang berenang dari pelbagai jenis seolah-olah menyambut kedatangan pengunjung.

Akhirnya berjaya menjejakkan kaki di Pulau Kuramathi, langsung tiada deruan kereta atau motor. Apa yang kedengaran ketika itu hanyalah deruan ombak dan bayu laut.

Sebaik tiba di pulau berkenaan, kakitangan resort yang bertugas di pulau sepanjang 1.8 kilometer itu menyambut mesra sambil dibawa ke sebuah villa di sana.

Ada pelbagai jenis penginapan, terserah pada pengunjung untuk memilih. Villa di tengah-tengah pulau adalah untuk mereka yang ingin berehat sambil dikelilingi kehijauan flora manakala bagi mereka yang ingin dikelilingi kebiruan Lautan Hindi, bolehlah cuba menginap di villa di pantai atau di atas laut.

Antara jenis villa yang disediakan ialah Beach Villa, Beach Bungalow, Superior Beach Villa, Water Villa dan Pool Villa.

Walaupun berada di tengah Lautan Hindi, pengunjung tidak perlu risaukan pilihan makanan kerana ada lebih 10 restoran di pulau itu yang menyajikan hidangan Asia dan Barat. Oleh kerana Maldives adalah negara Islam, makanan halal tersedia untuk pengunjung.

Antara restoran yang boleh dikunjungi ialah Restoran Kobe, Tandoor Mahal dan The Reef. Bagi mereka yang lebih gemarkan hidangan secara bufet, tiga restoran menyajikan pelbagai pilihan makanan antarabangsa.

Walaupun Maldives lebih dikenali sebagai destinasi percutian mewah dan berbulan madu, ia juga tumpuan ramai pakar biologi laut yang ingin mengumpul maklumat mengenai sistem ekologi kepulauan Maldives di samping inisiatif untuk memuliharanya.


PENULIS di Pulau Kuramathi.

Lantaran itu, di pulau itu ada pusat kajian dasar laut yang dinamakan Eco Centre. Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali dan mempelajari khazanah lautan Maldives khususnya Pulau Kuramathi.

Pameran kerangka ikan paus spesies Sperm Whale antara tarikan utama di Eco Centre. Di samping itu, turut dipamer hidupan laut dan batu karang yang jarang dapat dilihat di kepulauan lain.

Resort itu juga mengamalkan pertanian mesra alam (hortikultur) di mana wujud Taman Hidroponik yang menghasilkan lebih 1,000 kilogram sayur-sayuran dan buah-buahan yang digunakan sebagai sebahagian daripada hidangan restoran di pulau itu.

Tanggapan awal terhadap Maldives sebagai destinasi berbulan madu saja adalah kurang tepat. Pulau yang sering kali menjadi tumpuan ‘Instagrammers’ ini bukan sekadar memberi pengalaman destinasi percutian mewah dan eksklusif.

Ia boleh juga menjadi lawatan eko dalam memahami ekologi dasar laut khususnya kesedaran mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Ya, sekali lagi keindahan Maldives tidak dapat dibandingkan dengan gambaran pada skrin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:05 AM
ANTARA satu pulau di Maldives.