PEMANDANGAN unik di Shazdeh Mahan Garden.
Azli Khairi Abdul Hamid


IRAN tidak hanya memiliki bentuk geografi cantik, malah kesan peninggalan sejarah sejak kegemilangan zaman Arab Parsi menjadikan negara itu terus dikunjungi pelancong dari seluruh dunia.

Negara yang mempunyai empat musim itu mempunyai pelbagai keunikan untuk diteroka. Penulis mula menanam hasrat untuk menjejakkan kaki di bumi Iran selepas melihat rancangan televisyen pelancongan yang memaparkan keindahan negara itu.

Sebut saja Iran, perkara pertama pada mata masyarakat Malaysia tentulah fahaman Syiah yang diamalkan di sana. Sekatan demi sekatan dan propaganda yang dimainkan Amerika Syarikat dan sekutunya menjadikan Iran antara destinasi misteri yang harus dilawati.

Sering bermain di fikiran saya, adakah Iran terkesan dengan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap mereka? Adakah Iran negara yang miskin dan tidak maju? Namun selepas 10 hari berada di Iran, semua persepsi itu ternyata tidak benar.

JUADAH yang perlu anda cuba di Kerman.

Di negara yang dikatakan tertutup buat dunia luar itu tersembunyi 1,001 keindahan dan hanya dapat dinikmati jika berkunjung ke sana.

Malah ia menerajui industri penghasilan air mawar menerusi proses penyulingan menggunakan kaedah suling wap bagi setiap kuntum bunga ros segar.

Kebiasaannya, jika bercuti di Iran, tempat yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia ialah Shiraz, Isfahan dan Tehran. Namun kali ini, penulis ingin berkongsi dua lagi destinasi baharu di Iran yang patut dilawati, iaitu Kerman dan Shahdad.

‘GAMPLING’ di Shahdad Eco Camp.

Mudah untuk kita ke Iran dari Kuala Lumpur. Syarikat penerbangan Mahan Air terbang terus dari Kuala Lumpur ke Tehran sekali sehari. Penerbangan ke Tehran mengambil masa lapan jam setengah.

Pesawat Mahan Air mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomaini kira-kira jam empat pagi waktu tempatan. Untuk ke Kerman, penulis harus menaiki penerbangan domestik di Lapangan Terbang Mehrabad.

Sementara menunggu penerbangan ke Kerman, rombongan saya dibawa bersiar-siar di Tehran dan menyaksikan pemandangan matahari terbit di Azadi Square. Sebaik mendarat di Kerman, penulis disambut kakitangan Mahan Holidays.

SAKSI keindahan cakerawala Bima Sakti ketika di Lut Desert.

Destinasi pertama penulis ialah Shazdeh Mahan Garden yang bermaksud Taman Putera Mahan. Taman-taman sebegitu memang banyak di Iran. Kebiasaannya taman sebegitu dibina dalam bentuk segi empat dan dikelilingi dinding. Di bahagian bawah ada beberapa pintu masuk dan sebuah pagar utama manakala di bahagian atas mempunyai struktur bangunan dua tingkat. Jarak di antara struktur bangunan dan pagar utama dipisahkan laluan air pancuran yang dibina mengikut bentuk muka bumi taman ini dan aliran air terjadi secara semula jadi.

Taman sebegitu antara contoh terbaik taman Parsi yang dibina menggabungkan elemen semula jadi seperti air, tanah dan angin.

Perjalanan diteruskan ke Kompleks Makam Bersejarah Astan E Shah Nematallah E Vali, antara imam yang dihormati di Kerman.

SHAFI Abad Caravanserai yang diguna lebih 200 tahun lalu.

Seterusnya perjalanan dari Kerman ke Shahdad tidak jauh, lebih kurang 98 kilometer tetapi kenderaan pacuan empat roda terpaksa mendaki lereng-lereng bukit curam dan sempit. Pemandangan di situ sungguh menakjubkan.

Akhirnya penulis sampai di Shahdad Eco Camp yang dimiliki sepenuhnya oleh Mahan Air. Siapa sangka, di tengah padang pasir yang luas itu ada resort berkonsepkan ‘glamping’ yang mewah. Ada sebuah kapal terbang Mahan Air diparkir di hadapan pintu masuk resort ini. Ya! Sebuah kapal terbang sebenar tetapi tidak lagi diguna.

Shahdad Eco Camp mempunyai beberapa unit khemah yang dilengkapi dengan peralatan yang mewah dan moden. Setiap khemah mempunyai pemanas air, katil, dapur, kemudahan membuat kopi dan teh.

PENULIS menikmati teh di Shazdeh Mahan Garden.

Dari Shahdad Eco Camp, kami terus ke Kalaout Desert untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam. Perjalanan ke situ tidak jauh, hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit pemanduan. Kami berborak-borak sambil menikmati kopi panas, biskut dan buah-buahan sebelum pulang ke kem untuk menikmati makan malam.

Seawal jam lima pagi, saya bersama rakan bertolak ke Luth Desert untuk menyaksikan sinaran matahari terbit. Seterusnya aktiviti mencabar safari padang pasir bermula. Nampak saja mudah untuk memandu di kawasan padang pasir itu, namun sebenarnya anda memerlukan skil yang tinggi dan pengetahuan mendalam untuk memandu di kawasan padang pasir yang luas dan nampak sama saja pada mata kasar.

PEMBUATAN barangan tembaga di Kompleks Ganjali Khan.

Selesai makan tengah hari dan daftar keluar, rombongan kami kembali menuju ke Kerman. Dalam perjalanan, kami singgah melawat Shafi Abad Caravanserai yang berusia hampir 200 tahun dan juga Qanat, tinggalan lama sistem takungan air yang berfungsi menyediakan air untuk kegunaan perkampungan di sekitar padang pasir yang kering kontang.

Sebaik tiba kembali di Kerman, saya melawat bazar yang terletak di Kompleks Ganjali Khan. Selain membeli-belah di bazar itu, ada rumah teh yang sangat terkenal dalam kalangan warga Parsi, sebuah masjid dan rumah mandian. Usai makan tengah hari di komples, lawatan diteruskan ke Fathabad Garden yang dibina pada era kegemilangan Qajar.

Buat mereka yang berhasrat melawat Kerman, anda boleh menginap dua malam di situ sebelum meneruskan kembara di destinasi lain seperti Esfahan atau Shiraz!

PENGUNJUNG kagum ketika berada di Qanat, tinggalan sistem takungan air

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 5:05 AM