MASJID Omar Ali dan replika tongkang mahligai.
Nurul Aina Amran


USAI percutian di Bumi Kenyalang, penulis dan keluarga tidak melepaskan peluang meneruskan percutian di negara jiran yang bersempadan dengan utara Sarawak, Brunei Darussalam.

Penerbangan yang mengambil masa selama satu setengah jam dari Lapangan Terbang Kuching ke Lapangan Terbang Brunei sudah cukup memberi gambaran awal mengenai statusnya sebagai negara pertama Asia Tenggara yang menerapkan syariat Islam.

Buktinya, syarikat penerbangan milik Brunei iaitu Royal Brunei Airlines mempunyai barisan pramugari yang sopan pakaiannya seiring tuntutan agama.

Lebih mengujakan apabila bacaan doa mengiringi pergerakan pesawat ketika di landasan dan sebaik doa itu selesai, barulah pesawat mula berlepas.

Setiba di Lapangan Terbang Brunei, tulisan Jawi mula terlihat di setiap sudut lapangan terbang. Malah papan tanda di Brunei disertakan dengan tulisan Jawi meskipun turut tertera bahasa Inggeris.

Selepas mendapatkan perkhidmatan kereta sewa dengan harga berpatutan dari syarikat Auto X Brunei, kami terus mendaftar masuk ke hotel di Bandar Seri Begawan.

Memandangkan ketibaan adalah pada Jumaat, kami diberitahu semua urusan di Brunei dihentikan seketika mulai jam 12 tengah hari sehingga jam 2 petang bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.

Selepas jam 2 petang barulah kami sekeluarga menuju ke Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di pusat Bandar Seri Begawan untuk makan tengah hari dan selepas itu melawat kawasan sekitarnya.

KEUNIKAN Taman Tema Jerudong.

Di sini terdapat banyak kedai makan, hotel dan bangunan bersejarah menjadi tarikan pelancong seperti Kompleks Yayasan itu sendiri dan Masjid Omar Ali yang turut menjadi simbol kejayaan Islam di Brunei.

Dinobatkan sebagai antara masjid paling cantik di dunia, kubah utama masjid yang disaluti emas tulen itu siap dibina pada 1958 dan dinamakan sempena nama Sultan Omar Ali Saifuddien III yang bertanggungjawab membawa Brunei ke arah pembangunan Islam.

Baginda adalah ayahanda kepada Sultan Brunei sekarang, iaitu Sultan Hassanal Bolkiah.

Kawasan masjid ini turut menempatkan sebuah replika tongkang mahligai milik pemerintah Brunei pada abad ke-16, Sultan Bolkiah yang dibina pada 1967.

Seterusnya pada sebelah petang, kami berpeluang ke Pasar Gadong ataupun Pasar Malam Gadong yang dibuka selepas jam 4 petang sehingga 11 malam.

PENULIS (kanan) dan keluarga ketika melewati Sungai Brunei.

Selain itu, Brunei juga terkenal sebagai sebuah negara kecil di Asia Tenggara yang memiliki penempatan perkampungan air terbesar di dunia iaitu Kampong Ayer. Meskipun binaan rumah kayu di kawasan itu kelihatan kecil, perkampungan ini dilengkapi hospital, sekolah, balai bomba, balai polis, restoran dan surau.

Turut disediakan ialah perkhidmatan meronda buat pelancong ke kawasan perkampungan itu dengan menaiki bot milik penduduk tempatan. Kami turut dibawa menikmati kawasan hutan belukar di sepanjang sungai Brunei dan jika bernasib baik dapat melihat

monyet Belanda.

Selain mempunyai perkampungan di atas air yang terbesar di dunia sehingga diberi jolokan ‘Venice of the East’ oleh pelayar Portugis, Ferdinand Magellan yang melewati perkampungan itu pada abad ke-16, kerajaan Brunei turut memiliki tempat bersemayam diraja terbesar di dunia iaitu Istana Nurul Iman.

Membawa maksud cahaya keimanan, istana ini dilapisi emas di setiap sudutnya di samping turut memuatkan 1,788 bilik dengan 257 bilik air, masjid dan lima kolam renang. Keluasan yang menjangkaui 200,000 meter persegi menjadikan istana ini sebagai istana terbesar di dunia seperti dinobatkan Guinness World Records.

VISUAL pemandangan Kampung Ayer.

Bandar Seri Begawan antara ‘rumah’ kepada banyaknya muzium yang memaparkan kepelbagaian sejarah, budaya dan kehebatan monarki Brunei.

Antara muzium yang terkenal adalah Muzium Royal Regalia yang dibuka pada 1992 oleh Sultan Hassanal Bolkiah yang memuatkan sejarah Kesultanan Brunei dan latar belakang negara itu sendiri.

Menariknya muzium ini ibarat suatu pentas dedikasi terhadap pemerintah Brunei sekarang, Sultan Hassanal Bolkiah. Selain itu ada Muzium Maritim Brunei Darussalam dan Muzium Teknologi Melayu yang masuk adalah percuma.

Di sebelah malamnya, kami berkunjung ke taman tema terbesar di Borneo dan termahal di Asia Tenggara iaitu Taman Tema Jerudong yang memakan masa kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar.

Pada 16 Julai 1996, mendiang raja pop, Michael Jackson pernah mengadakan persembahan di sini sempena sambutan hari lahir Sultan Hassanal Bolkiah yang ke-50.

Peluang bercuti di Brunei juga mengizinkan kami menziarahi masjid terbesar iaitu Masjid Jame’Asr Hassanil Bolkiah yang dibina bagi tujuan wakaf oleh Sultan Hassanal Bokiah.

Dua puluh sembilan kubah bersalut emas tulen yang melengkapi seni bina masjid sebagai simbolik kepada pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah iaitu sultan ke-29 kerajaan Brunei.

Meskipun tidak berada di kawasan pusat bandar, keindahan seni bina, landskap dan persekitaran masjid ini sudah cukup menzahirkan auranya sebagai antara masjid kebangsaan Brunei yang mewah dan tersendiri. Ia turut diangkat sebagai antara sebuah masjid yang tercantik di dunia.

Tidak ketinggalan, kami turut menikmati makanan tradisi rakyat Brunei yang diperbuat daripada adunan doh kanji daripada tepung sagu iaitu ‘ambuyat’ kebiasaannya dimakan bersama ‘cacah’ seperti tempoyak, sambal binjai dan lauk-pauk yang rasanya begitu unik lagi enak.

Satu amalan yang dapat dicontohi di sini adalah kebersihan. Sukar untuk lihat sampah dibuang merata-rata! Rakyatnya begitu berdisiplin, malah pejalan kaki juga diraikan sebagai ‘king of the road.’

Ia sebuah negara yang aman,sesuai dengan namanya, Brunei Darussalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 6:00 AM