X
PERTANIAN pintar di rumah hijau menggunakan konsep akuaponik.
PERTANIAN pintar di rumah hijau menggunakan konsep akuaponik.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Meskipun memiliki banyak kelebihan berbanding penanaman konvensional, kaedah akuaponik sebenarnya belum dilaksanakan secara meluas di negara ini.

Konsep penanaman moden menggabungkan akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan hidroponik (kaedah pertanian berasaskan air) diakui bukan saja lestari malah menghasilkan hasil tanaman yang lebih selamat untuk dimakan.

Ini kerana tanaman tidak menggunakan baja kimia biasa yang berbahaya sebaliknya daripada sisa perkumuhan haiwan ternakan.

Kelebihan itu menjadi inspirasi kepada bekas pakar bioteknologi di sebuah syarikat terkemuka, Dr Billy Tang Chee Seng untuk memperkenalkan kaedah penanaman pintar akuaponik di dalam rumah hijau (rumah pelindung hujan).

Dr Tang turut memperkenalkan kaedah penanaman itu bagi membantu mereka yang memiliki ruang terhad untuk berkebun terutama golongan orang kurang upaya (OKU).

DR Tang (kanan) bersama pembantunya. FOTO Amirudin Sahib
DR Tang (kanan) bersama pembantunya. FOTO Amirudin Sahib

Ini memandangkan beliau juga seorang OKU selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira empat tahun lalu.

Pengasas PWD Smart FarmAbility Social Enterprise ini berkata, selepas bangkit daripada tragedi itu, dia mula membuat kajian untuk memperkenalkan kaedah pertanian moden baharu, akuaponik di dalam rumah pelindung hujan yang boleh dilaksanakan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga yang memiliki ahli keluarga OKU.

“Kaedah penanaman akuaponik ini menggunakan sistem simbiotik iaitu menggabungkan ternakan ikan dan penanaman sayuran dalam satu tempat.

“Bagi memanfaatkan ruang yang terhad, rak tanaman dibina menegak ala menara dan di bawahnya pula terdapat ternakan ikan air tawar seperti talapia serta Australia Jade Perch yang diberi makanan organik.

“Air dan sisa kumuhan seperti najis serta air kencing ikan itulah yang akan disalurkan kepada tanaman berkenaan sebagai baja,” katanya kepada Xpresi.

TANAMAN sayuran ditanam di ruang seakan-akan menara dan di bawahnya ruang ternakan ikan air tawar. FOTO Amirudin Sahib
TANAMAN sayuran ditanam di ruang seakan-akan menara dan di bawahnya ruang ternakan ikan air tawar. FOTO Amirudin Sahib

Menurut Dr Tang lagi, konsep pertanian pintar itu juga sesuai dilaksanakan di kawasan bandar, taman perumahan atau kediaman jenis pangsapuri yang memiliki ruang terhad.

Katanya, konsep pertanian moden itu turut berpotensi dikomersialkan kerana ia dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada sayuran import yang tidak dapat dipastikan tahap kesihatannya.

“Antara tanaman yang sesuai ditanam menggunakan kaedah penanaman itu adalah salad, daun kesum, daun kaduk dan bayam Brazil.

“Tanaman jenis itu bukan saja lebih cepat mengeluarkan hasil malah bernilai tinggi di pasaran, contohnya bayam Brazil yang kini mencecah RM80 sekilogram,” katanya yang turut berharap kerajaan dapat tampil membantu memperluaskan kaedah penanaman berkenaan.

Sementara itu, beliau turut memperkenalkan terarium sayuran organik di dalam bekas plastik, PWD Smart Farmability Terrarium Organic Grow Box bagi menggalakkan orang ramai menanam sendiri sayuran untuk dimakan yang lebih sihat tanpa bahan kimia atau racun berbahaya.

Kata Dr Tang, kaedah penanaman organik konvensional yang menggunakan semburan bio juga antara alternatif selamat, tetapi apa yang kontranya, ia memerlukan kos tambahan.

BAYAM Brazil antara sayuran bernilai tinggi yang boleh ditanam dalam terarium menggunakan bekas plastik. FOTO Amirudin Sahib
BAYAM Brazil antara sayuran bernilai tinggi yang boleh ditanam dalam terarium menggunakan bekas plastik. FOTO Amirudin Sahib

Namun dengan kaedah penanaman yang diperkenalkan, ia bukan saja menjimatkan kos malah hasil tanaman lebih selamat dan menyihatkan.

“Terarium menggunakan bekas itu boleh diusahakan sesiapa saja kerana ia tidak memerlukan ruang yang luas.

“Penjagaannya juga cukup mudah iaitu hanya memerlukan siraman air sekali seminggu dan kemudian tunggu sehingga sayuran itu boleh dipetik.

“Selain itu, sayuran yang dihasilkan juga bebas serangga dan penyakit kerana ditanam dalam bekas bertutup,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai projek berkenaan, Billy berkata, terarium yang pertama seumpamanya di dunia itu semakin mendapat sambutan dan terkini, beberapa syarikat turut berminat menaja ratusan terarium untuk diberikan kepada OKU serta golongan yang memerlukan.

Katanya, penajaan itu bukan saja membantu golongan senasib dengannya menceburi bidang pertanian bandar moden malah menyumbang kepada amalan pemakanan yang lebih sihat.

“Umum sedia maklum golongan OKU sukar mendapat pekerjaan, jadi dengan adanya projek penanaman seperti ini, mereka dan keluarga bukan saja dapat menceburi bidang pertanian malah turut berpeluang menikmati sayuran lebih menyihatkan badan,” katanya yang turut melakukan kajian untuk menanam pokok sachainchi dari Peru di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:30 AM
Kabinet Malaysia 2020