X
Nurul Husna Mahmud


PENTERNAKAN udang kara air tawar dengan nama saintifiknya Cherax Quadricarinatus atau lebih dikenali ‘red claw’ lebih mudah diternak berbanding udang galah meskipun kedua-duanya udang spesies air tawar.

Menurut Pengasas Mr Lat Empire Johari Jaafar, penjagaannya tidak rumit selain mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran membuatkan ia prospek baik dalam segmen ternakan kolam untuk pasaran makanan.

Katanya yang ketika ini memfokuskan kepada ternakan untuk bekalan benih kepada pembekal, pemilik restoran dan penternak, kapasiti ketika ini yang mampu membekalkan sekitar 600 ekor hingga ke 2,000 anak udang kara sepit merah sebulan masih tidak mampu menampung permintaan pasaran.

“Penternakan udang kara sebenarnya mudah jika penternak memiliki ilmu kaedah penjagaannya. Udang ini tidak serumit udang galah dan mempunyai daya tahan lebih tinggi.

UDANG bertelur.
UDANG bertelur.

“Cuma penting dalam aspek penjagaan iaitu air kolam perlu bebas klorin dan kandungan ammonia tidak tinggi. Bagi penternak yang mahu mencuba boleh mulakan dengan kolam kecil menggunakan air tapisan dari rumah mereka.

“Kebanyakan yang datang kursus atau belajar cara menternak udang ini, kembali ke rumah masing-masing dan membuat kolam berdasarkan kesesuaian tempat tinggal serta persekitaran mereka.

“Ada peserta menggunakan bekas simpanan barang, ada juga buat kolam kanvas di atas rumah selain segelintir menggunakan tangki air sebagai platform menggantikan kolam.

UDANG menyorok di dalam ‘rumah’ di waktu siang.
UDANG menyorok di dalam ‘rumah’ di waktu siang.

“Saya sendiri sebelum ini menggunakan rangka katil, tikar getah, tong air dan kini beralih kepada kanvas digunakan sebagai penutup lori bersama rangka paip PVC sebagai kolam ternakan udang kara.

“Ketika ini, saya memiliki sekitar lapan hingga 11 kolam termasuk empat bagi tujuan penetasan dan bertelur di sebelah kiri rumah yang sebelum ini juga menjadi nurseri untuk tanaman orkid hutan,” katanya.

Tambah Johari untuk memastikan ekosistem ‘selesa’ bagi proses tumbesaran udang berkenaan, perlu dilengkapi ‘rumah’ menjadi tempatnya beristirehat selain tumbuhan air seperti Hydrilla dan keladi bunting yang mana akarnya sebagai sumber makan kepada hidupan air tawar itu.

TUMBUHAN akuatik menjadi makanan dan bantu ekosistem kolam seperti semula jadi.
TUMBUHAN akuatik menjadi makanan dan bantu ekosistem kolam seperti semula jadi.

“Makanan sebenarnya boleh dipelbagaikan mengikut kemampuan dan kesesuaian lokasi kolam ternak.

“Disebabkan kolam ternakan udang kara saya di kampung, saya dapat mempelbagaikan diet ternakan ini. Selain palet udang, kacang hijau, ubi kentang, kangkung, bayam dan tumbuhan akuatik seperti azola serta hydrilla turut boleh dijadikan makanan untuk ternakan.

“Tabiat udang ini ia aktif ketika malam, jadi itu mempengaruhi rutin pemberian makanan yang mana pada pagi nisbah sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding petang 60 hingga 70 peratus. Perlu diketahui jangan terlalu banyak makanan diberi kerana itu mempengaruhi kadar ammonia dalam air.

JOHARI sentiasa eksperimen dalam mengoptimumkan pengeluaran udang untuk pasaran benih.
JOHARI sentiasa eksperimen dalam mengoptimumkan pengeluaran udang untuk pasaran benih.

“Untuk elak udang terkena penyakit, perlu pastikan sisa makanan dicuci. Selain itu rutin tukaran air untuk permulaan dua minggu ke sebulan bergantung keperluan dan kejernihan air terbabit. Kalau ada yang membuat sistem aquaponik, rasanya keperluan tukar air juga berkurang,” katanya turut berkongsi udang kara jantan boleh dibezakan dengan betina menerusi sepit yang merah.

MENUNJUKKAN saiz anak udang berbeza.
MENUNJUKKAN saiz anak udang berbeza.

Nilai pasaran udang kara ketika ini, kata Johari bagi saiz sedia untuk dimakan atau pasaran restoran, biasanya saiz antara 0.1016 meter (m) hingga 0.127m sudah sedia ‘dituai,’ sementara pasaran benih seawal satu inci sudah boleh dijual.

SAIZ udang boleh dimakan.
SAIZ udang boleh dimakan.

“Biasanya pertumbuhan iaitu cukup makan, udang pun tidak berpenyakit, pada saiz 0.1016m sudah boleh bertelur dan pada bulan kelima atau keenam boleh dijual segar.

“Tempoh bertelur biasanya memerlukan 45 hari untuk menetas. Perlu dipisahkan mengikut saiz mengelak yang kecil menjadi makanan pada udang lebih dewasa,” katanya yang turut membela spesies Red Clarkii dari Australia berwarna jingga kemerahan.

SATU lagi spesies berwarna jingga kemerahan dibela Johari boleh dimakan atau tujuan hiasan.
SATU lagi spesies berwarna jingga kemerahan dibela Johari boleh dimakan atau tujuan hiasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 6:15 AM
JANTAN memiliki sepit berwarna merah.
JANTAN memiliki sepit berwarna merah.
Digital NSTP Subscribe