X
Hafiz Ithnin


BEBERAPA kali ke Kota New York, penulis hanya melihat Roosevelt Island dari jauh.

Itu pun kerana kediaman dihuni menghadap pulau itu yang dikatakan mempunyai sejarah tersendiri.

Sebenarnya beberapa kali rakan penulis menyarankan melawat pulau itu kerana menurutnya kawasan itu menarik kerana tidak begitu sesak seperti di Manhattan.

Dari tempat penginapan penulis ke Roosevelt Island tidaklah begitu jauh kerana hanya perlu menaiki kereta kabel.

Kalau berjalan dari kediaman ke stesen kereta kabel yang terletak di 2nd Ave, di antara 59th dan 60th Street kira-kira 15 minit sahaja.

Sebaik melangkah kaki yang sememangnya malas untuk keluar dari kediaman kerana musim sejuk sudah tiba dengan suhu sekitarnya kurang 5 darjah Celsius, digagahkan juga untuk meneroka pulau itu yang sebelum ini hanya dilihat dari cermin polos rumah.

Menariknya, untuk menaiki kereta kabel ini, penulis tidak perlu membeli tiket baharu kerana boleh menggunakan kad bayaran yang biasanya digunakan untuk Subway iaitu Metrocard.

EAST RIVER menjadi pemisah antara Roosevelt Island dan Manhattan. FOTO Hafiz Ithnin
EAST RIVER menjadi pemisah antara Roosevelt Island dan Manhattan. FOTO Hafiz Ithnin

ANTARA jambatan yang menghubungkan Manhattan dan Roosevelt Island. FOTO Hafiz Ithnin
ANTARA jambatan yang menghubungkan Manhattan dan Roosevelt Island. FOTO Hafiz Ithnin

Kadar harganya menggunakan perkhidmatan itu, penulis tidak begitu pasti kerana ingin cepat masuk ke dalam stesen dek kesejukan ketika berjalan ke sana kerana di dalam fikiran hanya ingin memanaskan badan secepat mungkin.

Menunggu kereta kabel yang merentasi sungai, East River itu tidaklah begitu lama kerana terdapat dua kereta kabel yang membawa penumpang pergi dan balik dari Roosevelt Island dan Manhattan.

Terbuka saja pintu kereta kabel, penulis cepat-cepat masuk menghimpit ke tingkap kerana ingin merakam panorama East River dari kaca mata burung dan jalan yang direntasi kenderaan itu.

Berada di atas kereta kabel agak gayat kerana ia kecil dan kadangkala terasa bergoyang ketika bergerak, tetapi apabila ia mula naik lebih tinggi, perasaan itu mula hilang.

Memandangkan tidak mempunyai persediaan menerokai Roosevelt Island, termasuk membuat sebarang bacaan mengenainya, kaki hanya melangkah tanpa arah sebaik tiba di pulau itu.

Perkara menjadi perhatian penulis ialah untuk melihat sebuah kawasan berpagar yang dimaklumkan rakan ia adalah bangunan lama mempunyai sejarah tersendiri dan menjadi tarikan ramai pelancong untuk melihatnya.

Untuk ke bangunan berpagar itu, penulis perlu melalui laluan pejalan kaki yang hanya bersebelahan dengan sungai dan sambil berjalan, sempat juga merakam foto bangunan yang menjadi lukisan di seberang East River.

PANORAMA aras tinggi yang boleh dilihat ketika berada dalam kereta kabel. FOTO Hafiz Ithnin
PANORAMA aras tinggi yang boleh dilihat ketika berada dalam kereta kabel. FOTO Hafiz Ithnin

Selepas 30 minit, penulis tiba di bangunan berpagar itu dan kelihatan seorang pelancong dari Asia sedang membaca catatan mengenai sejarahnya dengan begitu tekun.

Bangunan itu ialah sebuah hospital lama yang terbakar dan menerusi pembacaan penulis, ia dinamakan sebagai Smallpox Hospital yang dibuka pada 1856 dan pernah menjadi sebuah sekolah.

Menariknya, hospital itu juga pernah digunakan untuk menempatkan pesakit perlu dikuarantin dan mungkin terdapat pelbagai kisah lain mengenainya memandangkan ia melalui peredaran zaman yang begitu panjang.

Selain Smallpox Hospital, di sekitarnya juga terdapat laluan berjoging yang dibangunkan dengan baik kerana orang ramai dapat beriadah sambil menikmati pemandangan taman.

Seperti biasa tiada pengunjung berada di dalam taman berkenaan, namun penulis tidak begitu khuatir kerana terdapat deretan kamera litar

tertutup (CCTV) yang mungkin digunakan untuk memantau keselamatan orang ramai.

Sekitar sejam menikmati pemandangan di dalam taman itu, penulis mengambil keputusan kembali ke Manhattan.

Sejujurnya, Roosevelt Island ibarat sebuah bandar yang kecil dan ekslusif.

Di sini, penulis difahamkan ada ramai diplomat memilih untuk tinggal kerana ia tidak begitu sesak seperti di Manhattan.

KERETA kabel yang menghubungkan antara Manhattan dan Roosevelt Island. FOTO Hafiz Ithnin
KERETA kabel yang menghubungkan antara Manhattan dan Roosevelt Island. FOTO Hafiz Ithnin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe