TERNAKAN Nik Afendy mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
TERNAKAN Nik Afendy mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Hazira Ahmad Zaidi


BIARPUN bergelumang dengan najis haiwan ternakan selain menjalani rutin menguruskan ternakan seperti kambing dan ayam kampung seawal jam 8 pagi, sedikit pun tidak membuatkan pemuda dari Kampung Tegayong, Melor, Kota Bharu, Kelantan ini rasa terbeban.

Nik Afendy Nik Mat, 35, berkata, walaupun ternakan diusahakan secara kecil-kecilan sebagai pendapatan sampingan, ia memberi kepuasan. Bukan saja mendapat sambutan penduduk sekitar malah turut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan luar kawasan terutama kambing.

Katanya, dia mula menternak kambing sejak lapan tahun lalu selepas berdepan kesukaran mendapatkan kambing akikah selepas kelahiran anak pertamanya.

"Pada peringkat awal, saya hanya memelihara 14 kambing jenis Boer yang dikacuk dengan Jamnapari dan sehingga kini jumlah ternakan meningkat kepada 75 ekor.

"Berbekalkan modal RM6,000 saya membina kandang dan pada masa sama turut menempatkan ayam kampung, angsa dan burung merpati," katanya yang dibantu seorang pekerja.

Malah dia memperuntukan sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan untuk membeli makanan kambing seperti dedak kambing hitam dan soya selain makanan bagi ternakan yang lain.

"Menternak kambing tidak serumit yang disangka kerana ia cepat membiak dan pada masa sama boleh melahirkan anak antara tiga hingga empat ekor bagi seekor ibu dalam tempoh empat bulan sekali atau dua kali setahun.

"Biarpun nampak rumit terutama menjaga anak kambing yang baru dilahirkan, bagi saya ia menyeronokkan kerana dapat melihat haiwan ini membesar di depan mata.

"Saya memperoleh kepuasan apabila ternakan sihat dan gemuk selain mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

SEBELUM dijual ternakan akan dipastikan sihat.
SEBELUM dijual ternakan akan dipastikan sihat.

"Saya menjual kambing serendah RM500 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada saiz dan berat," katanya.

Katanya, pada masa sama, dia juga perlu mengambil tahu dan sentiasa memeriksa keadaan kambing.

Kebiasaannya, kambing akan aktif dan agak agresif jika sihat tapi jika sebaliknya, muka kambing akan kelihatan pucat, tidak bermaya, kerap 'termenung,' 'menyendiri' yang boleh diketahui menerusi simptom mata berair dan bertahi, cirit serta najis berlendir.

"Setiap tiga atau enam bulan sekali saya akan memberi kambing peliharaan makan ubat cacing untuk memastikan ternakan ini tidak sakit dan sentiasa sihat selain mengelak kembung perut, bulu gugur serta mata bengkak," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah menyertai kursus mengenai penternakan kambing tapi hanya belajar sendiri selain mendapat nasihat daripada rakan serta kenalan di Facebook yang turut terbabit dalam ternakan kambing.

"Disebabkan saya tidak pernah menyertai mana-mana kursus mengenai ternakan kambing, jadi mereka yang berpengalaman dalam bidang penternakan ini menjadi tempat untuk bertanya bagi memastikan tidak tersalah langkah sehingga boleh menyebabkan masalah lain timbul.

"Ilmu penjagaan ternakan ini penting kerana saya tidak mahu kambing sakit atau mati disebabkan tidak peka dengan persekitaran," katanya.

Katanya, permintaan terhadap kambing sentiasa tinggi terutama apabila menjelang Aidiladha dan cuti sekolah apabila ketika itu ramai akan melaksanakan kenduri.

"Sebelum menjual ternakan ini kepada pelanggan, saya akan pastikan semua ternakan sihat dan tidak berpenyakit sebelum dijual kerana tidak mahu pelanggan menghadapi masalah.

SENTIASA memastikan kandang ternakannya bersih untuk elakkan jangkitan penyakit.
SENTIASA memastikan kandang ternakannya bersih untuk elakkan jangkitan penyakit.

"Walaupun nampak mudah, penternakan ini menyeronokkan kerana menghidupkan sunah Rasulullah SAW dan pada masa sama ia menjana pendapatan kerana sering mendapat permintaan," katanya.

Menyifatkan penternakan kambing sebagai pekerjaan sunah dan mampu menyelami kehidupan haiwan, Nik Afendy berkata, jika ada rezeki yang lebih, dia merancang meluaskan bidang penternakan itu kerana ia mempunyai potensi besar serta mampu menjana pendapatan lumayan.

"Saya juga merancang membeli lebih banyak baka kambing bagi memenuhi permintaan pasaran kerana kambing sebenarnya sentiasa mendapat permintaan tinggi.

"Bagaimanapun, ia memerlukan kesabaran dan ilmu untuk memastikan segala yang dirancang menjadi kenyataan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 7:01 AM