PEMINAT hidangan boleh mencuba pelbagai menu autentik Thailand di pasar terapung.
PEMINAT hidangan boleh mencuba pelbagai menu autentik Thailand di pasar terapung.
Hapsah Abd Rahim


DESTINASI terakhir sempat penulis jejaki sebelum pintu akses ke luar negara ditutup akibat pandemik Covid-19 ialah bandar terbesar dalam wilayah Songkhla, Thailand iaitu Hat Yai.

Satu pengalaman berbeza bagi penulis apabila percutian ke luar negara kali ini bersama 15 rakan dari Kelab Guru Sekolah Kebangsaan Bandar Puchong (1) Puchong, Selangor pada September tahun lalu kerana memilih untuk menaiki bas.

Percutian yang dirancang itu antara aktiviti tahunan kelab berkenaan menjadi lebih meriah apabila disertai lebih 20 peserta luar dengan memulakan perjalanan dari Perhentian KL Sentral Kuala Lumpur menuju ke utara tanah air.

Rombongan kami memasuki negara jiran itu dari Kompleks Imigresen Kota Putra, Durian Burung, Padang Terap, Kedah kerana pemandu kami memaklumkan laluan itu kurang sesak berbanding pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan Wang Kelian, Padang Besar, Perlis.

BERNIAGA makanan dari bot.
BERNIAGA makanan dari bot.

Namun berlainan pula situasinya ketika kami tiba di pintu sempadan pada jam 8.30 pagi apabila sudah dipenuhi deretan bas persiaran kerana menurunkan penumpang di pintu masuk imigresen Thailand.

Tidak dinafikan cabaran buat pelancong di Malaysia berurusan kali pertama dengan pihak berkuasa negara itu apabila bahasa menjadi halangan sekali gus wujudnya ketegangan dengan pelancong Malaysia. Keadaan itu menyebabkan proses masuk ke negara itu memakan masa panjang.

Nasihat untuk kumpulan pelancong kali pertama dari Malaysia yang berhasrat ke Songkhla, anda perlu lebih toleransi dan berdisiplin termasuk mendengar arahan bagi mengelak menerima layanan buruk.

Selepas 'drama sebabak' di pintu masuk, perjalanan diteruskan dengan singgah di Masjid Songkhla di tengah bandar yang sering menjadi pilihan pelancong untuk berhenti rehat.

PENULIS (kiri) bersama rakan serombongan bergambar di sisi patung ikan duyung di Pantai Samila.
PENULIS (kiri) bersama rakan serombongan bergambar di sisi patung ikan duyung di Pantai Samila.

Masjid dengan reka bentuk unik itu turut mempunyai kemudahan selesa termasuk ruang rehat dan tandas yang bersih membuatkan ia antara lokasi paling diingati penulis.

Hari pertama kami dibawa ke pusat bandar untuk mengunjungi pusat beli-belah Nora Plaza dan Renu Plaza selain melawat Big Bee iaitu ladang madu kelulut sebelum ke hotel penginapan.

Hotel kami tinggal hanya digunakan untuk kemudahan bermalam kerana kebanyakan aktiviti di luar terutama 'itinerary' mencari makan kerana di Hat Yai, ia dikenali sebagai syurga makanan dalam kalangan pelancong Malaysia.

GAJAH dihias cantik membawa pengunjung bersiar-siar di sekitar Chang Puak Camp.
GAJAH dihias cantik membawa pengunjung bersiar-siar di sekitar Chang Puak Camp.

Hotel kami tinggal hanya digunakan untuk kemudahan bermalam kerana kebanyakan aktiviti di luar terutama 'itinerary' mencari makan kerana di Hat Yai, ia dikenali sebagai syurga makanan dalam kalangan pelancong Malaysia.

Mana tidaknya, destinasi mengujakan bagi kami apabila jalan-jalan cari makan di Lee Garden Plaza yang popular dengan Asean Night Bazaar Market.

Rambang mata apabila tiba di pasar berkenaan yang menyediakan pelbagai makanan menyelerakan dengan persembahan setiap hidangan unik dan saiznya cukup mengujakan.

KEMERIAHAN di pasar tidak ubah seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.
KEMERIAHAN di pasar tidak ubah seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

Harganya jauh lebih murah iaitu sekitar 300 baht (RM40.39) hingga 400 baht (RM53.85) dan boleh dikongsi dengan rakan serombongan kerana saiz hidangannya cukup besar.

Namun perlu berhati-hati ketika membeli makanan kerana gerai di sini bercampur jualan hidangan yang tidak halal. Sajian paling disukai ketika berada di sini ialah hidangan roti kukus dengan kaya.

Lokasi ini juga turut menjual pelbagai cenderahati pada harga berpatutan sesuai buat ole-ole untuk teman dan ahli keluarga di Malaysia.

Selain Lee Garden Plaza, destinasi seperti pasar terapung Khlong Hae juga sesuai untuk pemburu makanan kerana menjual hidangan autentik Thailand. Persembahan penjual di sini juga unik kerana makanan dijual dalam tempurung selain air di dalam buluh atau pasu.

Tarikan lain turut sempat dikunjungi adalah Pantai Samila iaitu antara lokasi ikonik Songkhla kerana terdapat patung ikan duyung menyikat rambut di atas batu, Golden Mermaid Statue. Kami sempat menikmati aiskrim kelapa selain bergambar dengan patung berkenaan.

Peminat gajah wajib pergi ke Chang Puak Camp iaitu tarikan yang pengunjung boleh menunggang haiwan itu atau memberi makanan kepada anak gajah.

Selama tiga hari di wilayah berkenaan, penulis mengakui jurang bahasa antara cabaran pelancong, namun rata-rata rakyat tempatan terutama penjual sangat mesra malah pandai mengambil hati pelancong dengan menggunakan sepatah dua perkataan bahasa Melayu yang mereka tahu.

Selebihnya kerja tawar-menawar baik penulis atau ahli rombongan menggunakan kalkulator dan apa saja bahasa tubuh boleh difahami penjual untuk dapatkan harga murah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:00 AM