ORANG ramai melawat kebun milik Salmi.
ORANG ramai melawat kebun milik Salmi.
Muhamaad Razis Ismail


RUANG tanah yang terhad bukanlah alasan untuk tidak menjalankan aktiviti berkebun.

Ia bukan saja boleh menjimatkan wang malah mampu menjana pendapatan sampingan.

Perkara itu dibuktikan suri rumah, Salmi Mohd, 58, yang tinggal di Hulu Langat, Selangor apabila memanfaatkan tanah di belakang rumahnya dengan bercucuk tanam pelbagai jenis sayur sejak Disember 2019.

Pelbagai sayur yang ditanam termasuk bayam, pegaga, kobis, kacang panjang dan kacang bendi.

Menariknya, hasil yang diperoleh buka hanya untuk keperluan sendiri malah turut dikongsikan dengan jiran tetangga.

Salmi berkata, minat dengan aktiviti berkebun sudah lama, namun ia makin kuat selepas bercuti di Terengganu pada 2019.

Katanya, ketika singgah di sebuah restoran dia tertarik dengan bayam Brazil yang hidup subur berhampiran premis itu.

"Pemiliknya dengan murah hati berikan beberapa batang sayur itu untuk dijadikan benih.

"Saya bawa pulang dan cuba tanam dalam pasu di belakang rumah tanpa mengharapkan apa-apa.

ANTARA hasil yang diperoleh dari kebun Salmi.
ANTARA hasil yang diperoleh dari kebun Salmi.

"Dalam tempoh dua minggu, bayam itu hidup dengan subur dan membuatkan saya bersemangat teruskan aktiviti ini," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sejak minat terhadap aktiviti berkebun semakin meningkat dan dia mula aktif mencuba menanam pelbagai jenis sayur-sayuran.

"Saya sudah tinggal di sini hampir 32 tahun dan tanah terbiar dipenuhi semak. Tidak pernah terfikir untuk jalankan aktiviti berkebun.

"Alhamdulillah,biarpun dengan ruang yang terhad, sebenarnya tiada masalah untuk berkebun. Hasilnya selain untuk kegunaaan sendiri, saya berikan kepada jiran," katanya.

Katanya, biarpun tidak pernah menghadiri kursus berkaitan pertanian, ibu kepada dua anak ini mengakui banyak memperoleh ilmu menerusi Internet.

"Saya banyak sertai kumpulan Facebook berkaitan aktiviti berkebun yang banyak berkongsi ilmu berkenaan aktiviti pertanian.

SALMI bersama tanaman sayur yang tumbuh subur.
SALMI bersama tanaman sayur yang tumbuh subur.

"Di sini saya banyak belajar sendiri secara percuma mengenai teknik menanam, penjagaan, kawalan haiwan perosak dan perkara lain yang berkaitan," katanya.

Ditanya mengenai penjagaan tanamannya, dia banyak menggunakan kaedah tradisional yang lebih mudah dan menjimatkan.

"Untuk mencegah haiwan perosak seperti ulat, saya gunakan air rendaman cengkih dan air lebihan nasi yang disiram kepada sayur.

"Seminggu sekali saya akan tabur baja organik untuk bantu pertumbuhan sayur," katanya.

BANYAK luangkan masa di kebun di belakang rumahnya.
BANYAK luangkan masa di kebun di belakang rumahnya.

Jelasnya, setiap hari, dia akan berada di kebunnya seawal jam 7.30 pagi untuk memastikan sayurnya berada dalam keadaan baik.

"Saya peruntukan masa beberapa jam untuk pastikan tiada serangga perosak, bersihkan pasu dan sebagainya. Pada sebelah petang, sekitar jam 6, saya akan kembali ke kebun untuk menyiram sayur-sayuran.

"Kebun sayur ini menjadi lokasi yang wajib saya pergi setiap hari. Kadangkala jiran terdekat juga kerap datang melawat," katanya.

Oleh itu, dia menasihatkan orang ramai sama ada yang mempunyai tanah lapang atau sebaliknya, memulakan aktiviti berkebun.

"Jika tidak mempunyai tanah, anda boleh tanah di dalam pasu. Selain dapat jimatkan belanja dapur,ia juga boleh menjadi terapi apabila sehari berada di tempat kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:20 AM