WM

Tangan bersih hidup sihat

Oleh Hafiz Ithnin

ANTABAX menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan untuk melancarkan kempen Tangan Bersih Hidup Sihat.

Ia sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid sekolah untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit seperti Covid-19 dan Inflenza di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(3).

Kempen Tangan Bersih Hidup Sihat yang dilaksanakan itu memudahkan pemahaman berkenaan kesihatan menerusi penceritaan, visual berwarna-warni, lagu dan pergerakan tarian. Sekali gus membantu kanak-kanak mengenal pasti tanda dan simptom penyakit berjangkit yang biasa.

Mereka juga diajar mengenai langkah pencegahan yang mampu mengurangkan risiko jangkitan dan penyebaran penyakit berjangkit. Selain langkah yang perlu dilakukan jika mereka atau rakan lain rasa kurang sihat.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Azman Ab Rashid berkata, membasuh tangan adalah langkah pencegahan penting yang perlu diamalkan orang ramai ketika ini.

“Melalui Kempen Tangan Bersih Hidup Sihat ini, kami harap kanak-kanak lebih tahu pentingnya membasuh tangan dan amalan asas kebersihan yang lain bagi membantu mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit,” katanya.

Pengurus Besar Kanan Antabax, Francis Ng berkata, menerusi pelbagai kempen, pihaknya membangunkan kandungan yang membolehkan kanak-kanak faham, ingat dan mengamalkan tabiat membantu mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit.

“Kami juga menyumbang produk supaya mereka mempunyai barangan keperluan kebersihan di tangan dan di rumah. Sudah terbukti bahawa Tangan Bersih Hidup Sihat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 6:10am
    d