addin

Duit bantuan bukan beli rokok!

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Tidak akan berganjak kedua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah SWT pada hari kiamat nanti), sehingga ia terlebih dahulu ditanya tentang umurnya iaitu bagaimana dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya iaitu bagaimana amalan berkaitannya dan akan ditanya tentang hartanya iaitu dari mana sumber memperolehnya dan bagaimana ia dibelanjakan dan akan ditanya tentang tubuh badannya iaitu bagaimana ia dimanfaatkan."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis panjang ini memperincikan perkara penting yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan di dunia namun empat perkara tersebut menjadi persoalan utama yang akan dinilai oleh Allah SWT. Umur, ilmu, harta dan tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah SWT perlu dimanfaatkan pada jalan yang betul.

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini tidak lain adalah untuk setiap manusia mencari bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Justeru, setiap kurniaan Allah SWT sepanjang hidup di dunia ini perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana semuanya akan ditanya oleh Allah SWT nanti.

Berdasarkan empat perkara utama yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW tersebut, dapat difahami bahawa soalan berkaitan harta ditanya lebih terperinci berbanding perkara lain. Dua perkara yang dikaitkan dengan harta ialah berkenaan sumber perolehannya dan tatacara pengurusannya. Ini membuktikan bahawa rezeki yang diterima sepanjang kehidupan ini akan disoal oleh Allah SWT secara terperinci.

Dalam suasana kita masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19, ramai orang berdepan dengan masalah kewangan. Orang yang berharta mungkin diuji dengan kekangan tidak dapat membelanjakan hartanya seperti biasa kerana terdapat halangan untuk bergerak secara bebas lebih-lebih lagi sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dikuatkuasakan. Ini juga satu bentuk ujian untuk orang yang mempunyai harta.

Bagi golongan yang sebaliknya, waktu sekarang ini pastinya sangat memberi kesan terhadap perjalanan kehidupan seharian. Apatah lagi ada yang diberhentikan kerja, tidak dapat meneruskan perniagaan, waktu berniaga terhad, kurangnya sambutan daripada pelanggan, malah ada poket yang kering sehingga terpaksa meminjam duit daripada orang lain.

Ini semua adalah ujian yang sedang ditanggung oleh ramai orang. Pihak kerajaan termasuk pemimpin yang sebelum ini bersedia untuk membantu kebajikan rakyat perlu bertindak lebih proaktif bagi menghulurkan bantuan. Sesungguhnya pemimpin akan ditanya nanti tentang amanah yang asalnya diminta agar diletakkan di atas bahu mereka tanpa boleh mengelak lagi.

Setiap orang mempunyai tanggungjawab dan perlu memikulnya dengan bersungguh-sungguh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya."  (Muttafaq 'alaih)

Di pihak rakyat pula, masa kesusahan sekarang ini perlu diingatkan tentang perihal menguruskan rezeki yang diterima. Banyak pihak sedang berusaha menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat. Dalam keadaan ini, hadis Rasulullah SAW pada awal artikel ini perlu dijadikan panduan agar kita terselamat daripada kesulitan semasa menjawab persoalan Allah SWT di akhirat kelak.

Perlu diingatkan sumber rezeki perlu diberi perhatian serius. Usah sewenangnya mengambil sebarang bantuan yang hakikatnya diri tidak layak untuk menerimanya. Semua orang berada dalam keadaan yang susah namun ia bukanlah tiket untuk mengambil sesuatu yang bukan selayaknya dimiliki.

Perbuatan mengambil sesuatu yang bukan hak termasuk dalam perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Tidak ada orang lain yang akan menanggung dosa yang dilakukan seseorang insan melainkan diri pelakunya sendiri.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Katakanlah (sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepada-Nya), patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu tentang apa yang kamu berselisihan padanya."  (Surah al-An'am, ayat 164)

Selain mengambil perhatian dari sudut sumber rezeki, setiap Muslim juga perlu berwaspada terhadap soal pengurusan rezeki atau wang yang diterima. Ada orang tidak mempunyai duit yang cukup untuk mengurus keluarga namun apabila menerima duit bantuan contohnya, duit tersebut digunakan untuk membeli rokok.

Ini antara perkara yang perlu dielakkan kerana semua orang tahu tentang bahaya menghisap rokok. Duit yang sepatutnya boleh digunakan untuk membeli keperluan harian boleh pula diketepikan khas untuk membeli rokok yang membawa mudarat. Semuanya berbalik kepada diri sendiri kerana Islam jelas mengingatkan umatnya agar menjauhkan diri daripada perkara yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Pembaziran juga adalah perkara yang perlu dielakkan. Meskipun mungkin kita mempunyai wang yang lebih daripada mencukupi pada waktu sekarang, ia tidak boleh dijadikan sebab untuk berbelanja lebih daripada keperluan.

Perbuatan membazir atau boros dalam berbelanja dilarang oleh Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  "Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."  (Surah al-Isra', ayat 27)

Label 'saudara syaitan' yang diberikan oleh Allah SWT bagi golongan yang boros dan melakukan pembaziran adalah satu label yang amat berat. Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa pembaziran adalah hal yang wajib dijauhi. Atas asas inilah ulama menjatuhkan hukum haram bagi sebarang bentuk pembaziran.

Setiap wang yang diterima masuk dalam poket perlulah dipastikan ia daripada sumber yang halal. Ketika membelanjakan wang yang diperoleh pula, banyak perkara perlu dimasukkan dalam pertimbangan agar ia tidak dibelanjakan untuk tujuan yang salah. Sesungguhnya urusan melibatkan wang ini akan menjadi persoalan yang pasti akan ditanya oleh Allah SWT pada hari akhirat nanti.

Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar."  (Surah al-Anfal, ayat 2)

Penulis pensyarah di  Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 5:59am
    d