arena

Bukan salah Fatin atau Akbar tapi...

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Tidak mahu Fatin Syahirah Roszizi terus menjadi mangsa kecaman netizen kata bekas ketua teknikal skuad papan selaju negara, Mariss Khan muncul individu terbaru tampil mempertahankan prestasi buruk atlet berusia 16 tahun itu di Sukan Asia 2018.

Sejurus tamat acara akhir jalanan, Fatin dikritik hebat dalam media sosial sehingga mendapat perhatian legenda dunia Tony Hawk kerana gagal memberikan cabaran langsung terhadap tujuh peserta lain.

Namun, Mariss yang kini bertindak sebagai juri profesional papan selaju antarabangsa, mendakwa kesalahan itu sepatutnya ditanggung Mohd Zamri Ramli - individu yang dipertanggungjawabkan oleh Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) - untuk memutuskan hala tuju pasukan atau pemilihan atlet.

"Cari Zamri, sebenarnya Fatin mahupun Akbar (Sahari) yang turut dikritik penggiat papan selaju tidak bersalah, kontroversi ini berpunca daripada MESA, terutamanya Zamri.

"Ramai yang ingat pemilihan ditentukan jurulatih Johari Fitry Khairuddin (Joe Ipoh) tetapi sebenarnya MESA memberi mandat kepada Zamri untuk menentukan semuanya.

"Sebenarnya dia langsung tidak tahu apa yang sedang dibuatnya, malah pemilihan atlet dinilai daripada satu pertandingan pada Februari lalu saja.

"Memang pada dasarnya Fatin adalah atlet terbaik yang kita ada untuk acara jalanan. Tetapi pada masa sama ramai yang tidak tahu ketika ini majoriti atlet dan bekas atlet memboikot pemilihan yang dianjurkan MESA, hanya segelintit saja yang hadir.

"Jadi, misal kata pemenang tersebut adalah seorang yang baru menyentuh skateboard baru dua tahun, adakah dia layak untuk menjadi wakil Malaysia di pentas antarabangsa?," dakwa Mariss ketika dihubungi hari ini.

Isu itu hangat diperkatakan selepas sebuah klip video yang memaparkan aksi kurang memberansangkan atlet papan selaju wanita negara itu menjadi tular dan menerima kritikan hebat dari netizen selepas menamatkan aksi di tangga tercorot dengan aksi buruk seawal permainan bermula.

Fatin dilihat gagal mempamerkan aksi-aksi menarik bagi mengumpul mata apabila hilang kawalan pada 'skateboard' miliknya untuk sekadar memungut 5.4 mata.

Tempias itu turut mengenai Akbar yang juga pengulas sukan stesen televisyen tatkala ulasannya yang mempersoalkan pemilihan Fatin menjadi bahan kritikan penggiat papan selaju.

MESA turut dilihat tidak telus dalam melakukan pemilihan apabila tanpa mengemukakan sebarang alasan tidak menyenaraikan Arina Rahman bagi acara 'park' yang dilihat amat berpotensi memenangi pingat.

Berita berkaitan:Jangan putus asa Fatin kata Tony Hawk

 

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 6:51pm
d