arena

Suffian bagai permata yang hilang

Oleh Malik Muhamad

BEKAS jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan pemergian arwah Mohd Suffian Abd Rahman bagaikan sebutir permata yang hilang, bukan sahaja kepada pasukan TFC tetapi bola sepak negara.

Beliau yang mula mengesan bakat penjaga gol itu ketika membimbing pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan pada 1998 juga menyifatkan penjaga gol itu mempunyai karisma yang tinggi bukan saja dalam padang tetapi di luar padang.

Katanya, pemain itu juga mempunyai disiplin yang tinggi sehingga mampu kekal beraksi pada usia 41 tahun ketika rakan seangkatannya sudah bersara.

“Kehilangan besar dalam arena bola sepak negeri dan negara kerana arwah seorang pemain yang berdisiplin dan berdaya saing sehingga mampu beraksi hingga akhir hayatnya.

“Saya terkejut mendengar berita pemergiannya, arwah banyak berjasa kepada pasukan Terengganu dan skuad kebangsaan.

“Kelebihan utama yang ada padanya adalah sentiasa kekal dengan prestasi terbaik sebagaimana yang dipamerkan ketika membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kali terakhir pemain itu disenaraikan dalam kesebelasan utama TFC ketika skuad itu tewas 3-5 kepada pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) pada Mei lalu sebelum Irfan meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad itu.

Mohd Suffian menghembuskan nafas terakhir pada 1.10 tengah hari selepas mengadu sakit dada di rumah bapa mentuanya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Berita berkaitan

Hajat Suffian tercapai jua

Kehilangan Suffian amat dirasai...

Suffian sudah tiada

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 12:19am
d