arena

Terima Kasih FAM

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan tiga pemain Harimau Malaya mengadakan lawatan mengejut ke kediaman penyokong Ultras Malaya, Mohd Zulraini Helmi di Bangsar, hari ini.

Zulraini mengalami patah tangan kiri dalam kejadian serangan penyokong Indonesia ketika perlawanan Malaysia menentang skuad tuan rumah pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, Khamis lalu.

Dalam kunjungan itu, tiga pemain negara diketuai kapten dan penjaga gawang skuad kebangsaan, Farizal Marlias, selain pertahanan Shahrul Saad dan Syafiq Ahmad (tengah) bersama Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam melihat sendiri keadaan Zulraini selain mendengar kisah sebenar mengenai apa yang berlaku di tempat duduk penonton pada hari perlawanan berkenaan.

Sebagai menghargai kesungguhan dan semangat luar biasa Zulraini yang sanggup bertarung nyawa demi menyokong pasukan kebangsaan, badan induk bola sepak tempatan itu turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

Zulraini turut diberi tiket perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Selasa.

Zulraini, 39, mengakui terkejut dengan kehadiran pemain negara yang sudi meluangkan masa biarpun sibuk dengan jadual latihan bagi menghadapi UAE.

Berita berkaitan

'Saya takkan serik' [METROTV]'

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 9:17pm
d