arena

Pelumba dari China tak terlepas saringan kesihatan

Oleh Aida Adilah Mat

PENGANJUR perlumbaan berprestij, Petronas-Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) Human Voyage (HV) akan menjalinkan kerjasama rapat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung penularan wabak koronavirus baharu yang kini semakin menular di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Operasi HV, Shahaizereen A Hamid berkata, penganjur akan melakukan saringan secara terperinci untuk memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas yang tiba dari China bebas daripada jangkitan itu.

“Pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin oleh KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.

“Kami akan memastikan LTdL kali berlangsung tanpa sebarang kebimbangan khususnya membabitkan isu kesihatan dan keselamatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Shahaizereen berkata, satu pasukan yang berpangkalan di China iaitu Hengxiang Cycling mengesahkan menarik diri daripada menyertai perlumbaan kali ini berikutan wabak koronavirus itu.

Katanya, pihaknya juga menanti keputusan tiga lagi pasukan yang berpangkalan di China untuk mengetahui status terkini mereka.

Untuk rekod, sebanyak tiga pasukan berpangkalan di China iaitu Hengxiang Cycling, Giant Cycling dan Ssois Mioge Cycling Team.

Ditanya sama ada beliau bimbang saingan edisi ke-25 ini akan kekurangan pasukan, Shahaizereen berkata, penarikan pasukan tidak akan menjejaskan perlumbaan kerana penganjur dibenarkan menyenaraikan nama pasukan sehari sebelum pertandingan bermula.

Mengulas mengenai penyertaan pasukan bagi edisi ke-25, Shahaizereen berkata, pihaknya sudah menerima pengesahan daripada 22 pasukan berstatus pasukan jelajah dunia selain lima pasukan profesional benua dan selebihnya pasukan benua dan pasukan kebangsaan.

Petronas LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan majlis pengenalan rasmi pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari sebelum Peringkat 1 dimulakan di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak pada 7 Februari.

Perlumbaan dijangka berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan negeri.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 6:01pm
    d